suria

Sumbat 98 Gol, Lukaku Anggap Layak Dihormati

PENYERANG Manchester United, Romelu Lukaku percaya bahawa dia layak dihormati berdasarkan rekod pencapaiannya selama ini.

Lukaku yang sebelum ini bermain untuk Everton berpindah ke Manchester United dengan bayaran sebanyak £75 juta (RM311 juta) pada musim panas lalu dikritik ramai termasuklah oleh bekas pemain pertahanan, Gary Neville, gara-gara rekod prestasinya yang kurang memberangsangkan.

Bagaimanapun, pemain antarabangsa Belgium itu menjawab kritikan dengan menghadiahkan jaringan kemenangan menerusi perlawanan pada Ahad lalu, menyaksikan Chelsea tewas 2-0 ditangan pasukannya.

"Saya perlu bekerja keras. Rekod saya pun agak bagus. Saya sudah menjaringkan 98 gol dalam Liga Pemier. Saya hanya mahu terus mara.

"Saya tahu banyak yang boleh saya perbaiki. Saya memang nak bekerja keras dan menang banyak trofi. Ianya tidak mudah tapi ia adalah satu cabaran," ujar pemain berusia 24 tahun itu.

Dia juga bersetuju bahawa umum kadang-kala lupa bahawa dia masih lagi muda kerana sudah lama menyertai sukan itu.

"Saya mula bermain sewaktu berusia 16 tahun. Saya sudahpun membuktikan kebolehan saya.

Malah, pemain itu berkata, dia lebih berminat untuk membantu pasukannya memenangi perlawanan daripada mencari penghormatan untuk diri sendiri.

Ujarnya, kemenangan untuk pasukan adalah kepuasan untuk dirinya.

"Sebagai pemain bola, saya tidak bermain untuk diri sendiri sahaja. Saya banyak tengok pemain-pemain handalan memenangi kejuaraan, saya mahu jadi seperti mereka.

"Pastinya perjalanan ini masih jauh, tapi saya ada wawasan dan bekerja keras untuk memastikan pasukan saya menang. Saya tak fikir mengenai diri saya sahaja," ujarnya.

Katanya lagi, dia tidak menyesali keputusannya meninggalkan Chelsea untuk menyertai Manchester United sewaktu perpindahan pada musim panas lalu.

Malah, dia berkata pilihannya dibuat atas pertimbangan yang tepat dan dia gembira dengan keputusan itu.

"Lihatlah, saya bersama pengurus dan rakan sepasukan yang setiap hari mendorong saya untuk menjadi lebih bagus. Cabarannya di sini ialah kami nak menang dan itu juga yang saya mahukan," katanya lagi. 

Lukaku, United

Artikel Sebelum

Keputusan Piala FA

Artikel Berikut

Artikel Lain