suria

Kedah Kembali Ke Landasan Kemenangan Saingan Liga Super

Pemain pasukan PKNS FC Rafael Ramazotti De Quadros (kiri) cuba mengawal bola dari pemain pasukan Kedah Muhammad Ariff Farhan Md Isa (kanan) pada perlawanan Liga Super 2018 antara pasukan Felcra FC bertemu Kedah di Stadium Shah Alam pada Ahad. - Bernama

KUALA LUMPUR: Kedah mencalar rekod tanpa kalah PKNS FC pada saingan Liga Super musim ini selepas meraih kemenangan tipis 4-3 pada aksi penuh dramatik di Stadium Shah Alam, Ahad malam.

Kemenangan kedua berturut-turut selepas membenam PKNP FC 1-0 pada 11 Feb lalu, menyaksikan skuad Helang Merah melonjak tiga anak tangga ke kedudukan keenam carta dengan mengumpul enam mata daripada empat perlawanan.

Pada aksi tersebut, PKNS membuka tirai jaringan menerusi larian solo Faris Ramli sebelum melakukan rembatan kencang untuk menewaskan penjaga gol Kedah, Ifwat Akmal Che Kassim, pada minit ke-30.

Kedudukan itu hanya bertahan selama dua minit apabila Kedah dihadiahkan sepakan penalti selepas Akhyar Rashid dijatuhkan Qayyum Marjoni Sabli.

Pemain import Kedah, Liridon Krasniqi menyempurnakan sepakan penalti untuk mengikat kedudukan sebelum Mahali Jasuli meletakkan PKNS di hadapan pada minit ke-45.

Tersentak dengan jaringan itu, Kedah memperkemaskan gerakan di barisan depan dan usaha mereka membuahkan hasil apabila Liridon sekali lagi menyamakan kedudukan pada minit ke-55.

Kedah buat pertama kali berada di hadapan pada minit ke-67 apabila pemain pertahanan PKNS, K. Reuben tertampan bola hantaran Baddrol Bakhtiar ke gawang sendiri.

Bagaimanapun, Muhammad Ariff Farhan Md Isa memperkukuhkan kedudukan Kedah pada masa kecederaan sebelum disusuli jaringan gol ketiga PKNS oleh Mahali.

Sementara itu di Stadium Negeri Pulau Pinang, pasukan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC) mencatatkan kemenangan kedua dalam empat perlawanan selepas menewaskan Kuala Lumpur 2-1.

Pada perlawanan itu, PKNP FC selesa mendahului 2-0 hasil jaringan Ritus Krjauklis pada minit ke-65 dan Mohd Irwan Syazmin Wahab pada minit ke-79 sebelum Kuala Lumpur dihadiahkan oleh gol sendiri daripada pemain PKNP, G.Ganiesh pada minit ke-81. - Bernama

Liga Super

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Neymar Kena Usung Keluar Padang

Artikel Lain