suria

Tiga Acara Kembali Dalam Sukma, Bukan Sukan Teras

Acara taeakwando antara salah satu yang disenarai kembali pada Sukan Malaysia.

KUALA LUMPUR: Selepas dua bulan digugurkan sebagai sukan teras, Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia (Sukma) memutuskan sepak takraw, taekwondo dan angkat berat akan dipertandingkan semula di Sukma Perak pada September ini.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata keputusan mempertandingkan semula ketiga-tiga sukan tersebut di Sukma dipersetujui sebulat suara pada mesyuarat yang dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin pada Khamis.

Ahmad Shapawi, bagaimanapun  menegaskan tiga sukan itu tetap digugurkan daripada senarai sukan teras seperti  diputuskan pada mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi dan Lembaga Pengurus Majlis Sukan Negara yang terdahulu.

"Penilaian sebagai sukan teras adalah melalui proses kriteria yang berbeza dan lebih menyeluruh berbanding penglibatan semula mereka ke temasya berkenaan.

"Keputusan ini dibuat jawatankuasa selepas mengambil kira beberapa faktor dan prihatin dengan permohonan serta rayuan Majlis Sukan Negeri yang mewakili penggiat sukan terbabit di peringkat akar umbi," katanya dalam kenyataan.

Ahmad Shapawi berkata keputusan tersebut dibuat dengan meletakkan beberapa syarat dan pertimbangan antaranya sukan taekwondo mesti memberi peluang kepada atlet bukan daripada persatuan Taekwondo Malaysia (TM) melalui proses pemilihan mewakili negeri (TM Negeri).

"Sukan angkat berat pula, kesemua atlet, jurulatih, pegawai dan pencinta sukan angkat berat baik di peringkat kelab, daerah, negeri dan kebangsaan harus memastikan tiada lagi kes doping berlaku dalam temasya Sukan Malaysia mahupun kejohanan lain.

"Sekiranya berlaku lagi kes doping dalam kalangan penggiat sukan angkat berat di sebarang kejohanan, maka sukan itu sama sekali tidak akan dipertimbangkan untuk dipertandingkan di Sukma," katanya.

Bagi sepak takraw, beliau berkata Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) berjumpa dengan pihak KBS dan bersetuju untuk menyusun semula pengurusan organisasi dan menyediakan program pembangunan jangka panjang yang lebih terperinci bagi meningkatkan prestasi sepak takraw di setiap peringkat umur.

Sukma akan mempertandingkan tujuh sukan wajib iaitu badminton, memanah, olahraga, ping pong, powerlifting, renang dan boccia, dan bagi temasya Para Sukma Perak, tiga sukan pilhan ialah catur, boling padang dan tenpin boling. -Bernama

Taekwando, Sepak takraw, angkat berat

Artikel Sebelum

Chong Wei Kekal Nombor Dua Dunia

Artikel Berikut

Padah Ramas Kemaluan Pemain Lawan

Artikel Lain