suria

Selangor Bermula Langkah Kanan Di Liga Super 2018

Pemain Selangor Ilham Udin Armaiyn (kanan) diasak keras oleh pemain Kuala Lumpur Muhammad Syazwan Andik dalam saingan Liga Super 2018 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras. - Bernama

KUALA LUMPUR: Selangor membuka kempen saingan Liga Super 2018 dengan keputusan positif selepas mencatat kemenangan 2-0 ke atas pendatang baharu, Kuala Lumpur di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras malam Ahad.

Penyerang prolifik dari Sepanyol, Rufino Segovia Del Burgo membuktikan dirinya masih berbisa apabila meledak dua gol penting untuk menghadiahkan tiga mata penuh kepada skuad Gergasi Merah.

Selangor yang dibimbing ketua jurulatih P. Maniam berjaya memanfaatkan penguasaan di awal permainan untuk mendahului 1-0 pada minit ke-16 selepas hantaran daripada sebelah kanan Azammuddin Mohd Akil bijak ditanduk Rufino untuk gol peribadi pertamanya.

Kuala Lumpur kemudian bangkit memperkemaskan permainan dan hampir menyamakan kedudukan, namun rembatan Ashri Chuchu pada minit ke-38 berjaya dikeluarkan di atas garisan oleh pemain pertahanan, Kannan Kalaiselvan untuk Selangor selesa mendahului 1-0 pada separuh masa pertama.

Babak kedua menyaksikan Kuala Lumpur lebih menguasai permainan menerusi gerakan pantas ke arah kubu pertahanan Selangor, namun ketumpulan jentera serangan skuad ‘The City Boys' gagal menyudahkan beberapa peluang keemasan termasuk satu percubaan terkena palang.

Menghampiri masa penuh perlawanan, Rufino yang tidak dikawal dalam  kotak penalti pasukan tuan rumah tenang meledak gol kedua peribadinya, sekali gus memberikan Kuala Lumpur satu  permulaan yang pahit.

Sementara itu, di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang terpaksa berpuas hati berkongsi satu mata apabila seri tanpa jaringan berdepan Perak.

Bagaimanapun, Perak hampir mencipta kejutan pada minit ke-55 apabila pemain importnya, Gilmar Jose Da Silva Filho berjaya menewaskan penjaga gol yang meluru ke hadapan dengan membuat lambungan ke pintu gol tuan rumah, namun diselamatkan Mohamad Muslim Ahmad dengan menanduk keluar bola.

Selangor kini di tangga keempat berkongsi tiga mata bersama juara bertahan Johor Darul Ta'zim, Melaka dan PKNP FC yang turut meraih kemenangan pada aksi malam Ahad. - Bernama

Liga Super 2018

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain