suria

Zulhamizan Kecewa PDRM Gagal Raih Tiga Mata

Pemain Pasukan FELCRA FC Dzulfahmi Abdul Hadi cuba mengawal bola dari pemain Pasukan PDRM Woonsub Sim dan Mohamad Hariz Fazrin (kanan) pada perlawanan Jumaat malam. Foto: Bernama

SHAH ALAM: Kelalaian benteng pertahanan pada penghujung babak perlawanan menjadi punca pasukan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) gagal mengutip mata penuh setelah seri 1-1 berdepan pendatang baharu, Felcra FC, pada aksi pembukaan Liga Premier 2018 di Stadium Shah Alam, Jumaat malam.

Ketua Jurulatih PDRM Zulhamizan Zakaria berkata kesilapan penjaga gol pasukan berkenaan, Mohd Sheril Anuar Saini yang gagal menampan bola secara kemas membuka peluang kepada pasukan tuan rumah untuk meraih gol penyamaan menerusi sepakan penjuru yang dijaringkan pemain import dari Brazil, Anselmo Arruda Da Silva, pada minit ke-90 perlawanan.

Dia bagaimanapun berpuas hati dengan corak permainan PDRM terutama di bahagian tengah yang menyaksikan para pemain banyak mencipta peluang untuk menjaringkan gol.

“Cuma pada saat-saat akhir perlawanan, penyerang kita kurang mendapat bola daripada bahagian tengah, sekaligus menyukarkan penyerang kita untuk mencipta peluang jaringan.

“Saya harap perkara ini dapat diperbaiki sebelum kita berdepan Felda United pada aksi kedua liga di laman sendiri, Selasa ini,”kata Zulhamizan ketika ditemui pemberita selepas perlawanan berkenaan.

Dalam aksi itu, PDRM terlebih dahulu berada di depan hasil jaringan pemain import dari Romania, Petrisor Voinea pada minit ke-53 sebelum Anselmo Arruda menyamakan kedudukan untuk Felcra FC pada penghujung babak perlawanan.

Sementara itu, ketua jurulatih Felcra FC, Tarcisio Pugliese Barbulio, gembira dengan persembahan anak buahnya walaupun ketinggalan seketika dari segi jaringan.“…namun, kami perlu perbaiki beberapa kelemahan sebelum perlawanan kedua selepas ini,” kata jurulatih dari Brazil itu. -Bernama

PDRM, Liga Premier

Artikel Sebelum

Van Dirk Tak Gemuk!

Artikel Berikut

Artikel Lain