suria

Azam Manja Man

KANGAR: Ketua jurulatih pasukan bola sepak Perlis, Manja Man menyasarkan untuk membawa pasukan bimbangannya itu ke Liga Perdana pada musim 2019.

Katanya bertanding dalam Liga FAM pada musim 2018 adalah permulaan yang baik bagi membina semula pasukan itu yang pernah digelar ‘Singa Utara' semasa kemuncak kegemilangannya pada lewat 1980-an.

“Pasukan sekarang dibarisi pemain muda, kebanyakannya bekas pemain Piala Presiden Perlis dan beberapa negeri serta 10 pemain musim 2017 seramai 25 orang, justeru saya rasa lebih mudah membentuk pasukan Perlis.

“Dalam latihan yang bermula minggu lepas, saya menekankan keazaman, kesungguhan dan disiplin untuk mencapai matlamat yang disasarkan,” katanya.

Manja yang merupakan bekas pemain pertahanan Perlis pada era 1980-an dan 1990-an itu dibantu dua jurulatih iaitu Shamsyahril Shuib dan Ahmad Jazree.

Beliau pernah menjadi pembantu kepada ketua jurulatih, Abd Rahman Ibrahim semasa Perlis bersaing dalam Liga Super pada 2006 .

Selain itu, beliau pernah mengemudi pasukan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perlis menghadapi kejohanan bola sepak antara pusat-pusat pengajian tinggi dari 2012 hingga 2016.

Sepanjang di bawah bimbingannya, UiTM Perlis muncul juara dua kali pada 2012 dan 2013 dan naib juara pada 2014, 2015 dan 2016. - BERNAMA

Perlis, Manja Man

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain