suria

Pahang Terpaksa Lupakan Piala AFC!

Gambar hiasan. - Bernama

KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) terpaksa melupakan hasrat untuk beraksi dalam mana-mana kejohanan peringkat kelab Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) sehingga tahun 2020.

Ia berikutan keputusan Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), yang melarang PBNP daripada memohon Lesen Kelab AFC selama dua tahun bermula 2018 bagi menyertai mana-mana kejohanan AFC pada tahun 2019 dan 2020, selepas Skuad Tok Gajah berdegil tidak mahu menyertai Piala AFC 2018.

Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Baljit Singh Sidhu berkata Pahang telah melanggar Artikel 14 (obligasi ahli) Statut FAM dengan gagal mematuhi arahan FAM untuk mendaftarkan pasukan untuk bermain dalam pertandingan itu, walaupun menduduki tempat kedua Liga Super 2017 dan mempunyai kelulusan Lesen Kelab AFC yang melayakkan skuad Tok Gajah beraksi pada saingan peringkat benua itu.

“Mengikut peruntukan Artikel 14 Statut FAM - obligasi ahli menuntut pasukan mematuhi sepenuhnya statut, peraturan, arahan dan keputusan FIFA, AFC dan FAM pada setiap masa. Pahang juga diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan sama, namun keputusan ini boleh dirayu,” katanya menerusi kenyataan.

Sementara itu, Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) pula dikenakan denda sebanyak RM35,000 secara keseluruhan, bermain dua perlawanan tanpa penonton dan amaran keras bagi empat pertuduhan melibatkan kekecohan selepas aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia antara Perak dan Johor Darul Ta'zim di Stadium Perak, Ipoh 15 Oktober lepas. - Bernama

Piala AFC

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Christensen Umpama Terry - Conte

Artikel Lain