suria

Felda United Ke Liga Perdana

PETALING JAYA:  Teka-teki mengenai status Felda United pada aksi Liga Malaysia 2018 akhirnya terjawab selepas Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) mengesahkan pasukan itu tersingkir ke saingan Liga Perdana.

Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam berkata keputusan itu dibuat selepas Felda United gagal mendapatkan kelulusan lesen kelab daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

"Perkara itu dipertimbangkan dengan amat serius dan ahli lembaga FMLLP mencapai keputusan untuk tidak membenarkan Felda United bertanding dalam Liga Super 2018 kerana ketiadaan lesen FAM.

"Oleh itu pasukan Felda United diturunkan ke Liga Perdana 2018," katanya pada sidang media mengenai nasib pasukan tersebut petang Isnin.

Ditanya mengenai punca kegagalan Felda United untuk mendapatkan lesen FAM, Kevin berkata pasukan itu tidak mengemukakan dokumen berkaitan kewangan pada tarikh rayuan yang ditetapkan.

"Felda United tidak berjaya dapat lesen walaupun pada peringkat rayuan kerana dokumen yang perlu dihantar tidak dilengkapkan sepenuhnya," katanya.

Pada sama sama, Kevin turut mengumumkan nasib sama menimpa T-Team yang kini dikenali sebagai Terengganu II selepas pasukan itu melalui penjenamaan semula.

"Keputusan ini dibuat selepas FMLLP menerima permohonan untuk menstrukturkan kembali bola sepak Terengganu di mana pasukan T-Team mahu menjadi fedder club (pasukan pelapis atau kedua) iaitu Terengganu II.

"Oleh itu, FMLLP terpaksa menurunkan Terengganu II ke Liga Perdana dan mereka akan bertanding di pentas Liga Perdana 2018," katanya.

Malah Kevin berkata, Terengganu II juga tidak akan dibenarkan bertanding pada kejohanan sama dengan pasukan Terengganu.

Dengan keputusan itu, dua slot yang ditinggalkan Felda United dan Terengganu II akan diisi PKNP FC dan Negeri Sembilan yang masing-masing menduduki tangga ketiga dan kelima Liga Perdana musim ini.

Ini bermakna kedua-dua pasukan itu layak beraksi di pentas Liga Super musim depan.

Mengulas mengenai keputusan terhadap Felda United, Kevin menegaskan tidak timbul isu penganiyaan atau agenda lain terhadap skuad bimbingan B.Sathianathan itu.

"Keputusan tersebut dibuat berdasarkan fakta bahawa Felda United tidak mengemukakan penyata kewangan beraudit pada tarikh yang ditetapkan dan menyebabkan lesen tidak dikeluarkan.

“Adakah setiap keputusan yang dibuat perlu diputar belit supaya nampak seperti ia adalah untuk menganiayai sesebuah pihak supaya segalanya menyebelahi JDT? 

"Cara pemikiran ini adalah lebih untuk menutup kesalahan sendiri dengan menuding jari. Bila pula kita nak terima kelemahan, baiki kesalahan dan terus maju?," soal Kevin.

Jelas beliau, FMLLP tidak boleh menutup mata atau ‘memberi peluang’ kepada mana-mana kelab supaya bola sepak Malaysia dilihat setanding dengan negara jiran yang tegas dalam soal pelesenan kelab.

"Sebagai contoh, dua pasukan Divisyen 2 Liga Thailand telah diturunkan ke Divisyen 4 kerana gagal mendapatkan pelesenan kelab.

"Tinggalkan semua pemikiran yang negatif supaya bolasepak kita mampu maju ke hadapan," katanya.

Felda United

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain