suria

Kerana Neymar, Akhyar Rashid Mengganas

USIANYA baharu mencecah 18 tahun, namun bakatnya menjadi kepentingan skuad negeri dan Bawah 22 Tahun negara.

Sebut sahaja 'Neymar' Kedah pastinya tertumpu kepada pemilik nama Muhammad Akhyar Abdul Rashid.

Bermain di posisi penyerang, Akhyar mengakui gelaran Neymar itu bukan baharu baginya.

Bagi Akhyar dia gembira dengan gelaran itu kerana sememangnya Neymar adalah pemain idolanya.

"Memang saya suka Neymar (penyerang PSG). Corak permainan dia, bakat serta kemahirannya membuatkan saya ingin menjadi pemain bola sepak profesional satu hari nanti.

"Sejak sekolah dulu lagi kawan-kawan selalu gelarkan saya Neymar. Saya gembira la sebab dengan gelaran itulah membuatkan saya bersemangat untuk bermain lebih baik dalam setiap perlawanan," ujarnya kepada mStar Online.


Jelas adik kepada bekas pemain Kedah Rafdi Rashid itu, dia gembira kerana diberi peluang untuk bermain dalam skuad hijau kuning sebelum ini dan dipanggil mewakili negara.

Ternyata kelebihan iaitu larian derasnya menjadi senjata utama.

Malah ketika aksi Kelayakan Piala AFC Bawah 23 Tahun di Bangkok Julai lalu, Akhyar turut menjadi bualan media luar negara.

"Orang kata saya lari deras dan pandai menggelecek. Saya akan gunakan kelebihan ini untuk sebaiknya bagi membantu pasukan negara dalam Sukan SEA minggu depan.

"Saya gembira dan berterima kasih kerana jurulatih memberi kepercayaan kepada saya mewakili negara. Saya akan bantu pasukan untuk dapatkan pingat emas," jelas Akhyar yang gemar bermain menyanyi ketika waktu lapangnya.

Dalam pada itu, Akhyar yang pernah menjalani latihan di Akademi Cardiff City selama sebulan sebelum ini mengakui mahu menjadi pemain bola sepak yang berjaya kelak sekaligus dapat membantunya keluarga.

Anak bongsu daripada tujuh orang adik beradik ini turut berkongsi kenangan indah sepanjang bergelar pemain kebangsaan.

"Pengalaman paling indah dalam hidup saya setakat ini adalah pasukan negara (B-22) layak ke pusingan Akhir Piala AFC tahun depan. Susah nak cakap perasaan ketika itu, tetapi memang sangat gembira.

"Dan kejayaan itu menambahkan semangat kami untuk melangkah lebih jauh. Mengenai duit insentif yang diberikan FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia), saya akan gunakannya untuk membantu keluarga saya. Selebihnya saya akan simpan," ujarnya yang meminati kereta jenama Audi.

Selain itu, Akhyar yakin skuad Helang Merah akan menamatkan saingan Liga Super di kedudukan kedua  keseluruhan tidak lama lagi.


"Kami rehat sebulan (sempena KL2017) dan selepas ini ada baki lagi tiga perlawanan. Jadi saya yakin Kedah boleh menang," jelasnya.

Kedah kini mengumpul 34 mata, hanya kelebihan satu mata di atas Pahang. Manakala Johor Darul Ta'zim JDT) sudah pun disahkan sebagai juara liga dengan jumlah pungutan 45 mata daripada 19 perlawanan.

Akhyar Neymar

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Tekanan Buat Mourinho

Artikel Lain