suria

Nadal Juara Terbuka Barcelona Buat Kali Kesepuluh

Rafael Nadal. -fotoREUTERS

RAFAEL Nadal meneruskan prestasi cemerlangnya dengan menjuarai kejohanan Terbuka Barcelona 2017 buat kali kesepuluh.

Dalam aksi final yang berlangsung awal pagi Isnin, Nadal mengalahkan pemain nombor sembilan dunia, Dominic Thiem.

Dia hanya memerlukan dua set untuk menundukkan pemain berusia 23 tahun itu 6-4 dan 6-1. Thiem menyingkirkan Andy Murray di babak separuh akhir.

Minggu lalu, Nadal turut meraih gelaran kesepuluhnya di kejohanan Terbuka Monte Carlo.

"Ini adalah kemenangan berturut-turut dalam tempoh dua minggu, di Monte Carlo dan di sini, dua kejohanan istimewa untuk saya.

"Ini adalah permulaan kepada impian untuk menguasai kejohanan gelanggang tanah liat musim ini. Ia sangat bermakna bagi saya apabila meraih gelaran kesepuluh di Barcelona, di hadapan penyokong sendiri. Saya sangat gembira dan beremosi," kata Nadal selepas perlawanan.

Untuk rekod, Thiem hanya mampu mengalahkan juara Grand Slam sebanyak 14 kali itu di gelanggang tanah liat pada Terbuka Argentina tahun lalu.

Kemaraannya pada Sabtu untuk beraksi di final selepas menyingkirkan Murray adalah kali pertama sepanjang kariernya, namun dia terbukti bukan tandingan Nadal.

Rafael Nadal, Terbuka Barcelona

Artikel Berikut

Keputusan Ligue 1

Artikel Lain