suria

Kelantan Bawa Masuk 2 Tenaga Import Baharu

Annuar bersama Alfredo selaku pengarah teknikal baharu pasukan TRW. -foto SAZUKI EMBONG / The Star

KOTA BHARU: Kelantan membawa masuk dua tenaga import baharu bagi memantapkan pasukan itu menghadapi saingan pusingan kedua Liga Super musim ini.

Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa berkata dua tenaga import berkenaan ialah Alfredo Gonzales dari Uruguay dan Sanna Nyassi dari Gambia, bagi meningkatkan lagi prestasi pasukan The Red Warriors (TRW) pada baki aksi Liga Super dan saingan Piala Malaysia.

"Alfredo Gonzales dibawa masuk sebagai pengarah teknikal pasukan bagi membantu ketua jurulatih, Zahasmi Ismail manakala Sanna Nyassi akan didaftarkan sebagai penyerang bagi menggantikan Alessandro Celin pada jendela perpindahan pemain pertengahan bulan depan," katanya pada sidang akhbar di sini, Ahad.

Annuar berkata kemasukan dua tenaga import itu adalah berdasarkan kepada keperluan semasa pasukan bagi memberi saingan kepada pasukan lawan.

"Ia sebagai memenuhi kehendak barisan jurulatih yang mahu aspek dan kepakaran teknikal pasukan dapat dipertingkatkan di samping memperkuatkan barisan serangan," katanya.

Beliau berkata semua pihak tidak perlu risau dengan keputusan membawa masuk dua tenaga import baharu itu ketika Kafa kini berdepan dengan masalah kewangan.

"Jangan risau, kita tidak menggunakan wang diberikan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kepada kita...kita mempunyai kaedah sendiri bagi memenuhi kehendak pasukan TRW," katanya.

Kelantan kini berada di kedudukan kelima Liga Super selepas tamat pusingan pertama dengan mengumpul 16 mata, hasil daripada lima kemenangan, satu seri dan empat kali tewas.

Kafa, TRW

Artikel Sebelum

Artikel Lain