suria

KL2017: Skuad Memanah Diramal Raih Dua Pingat Emas

KUALA LUMPUR: Skuad memanah menjadi pertaruhan buat kontinjen negara untuk menyumbang emas pertama pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017) yang akan berlangsung Ogos ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Malaysia 2017 (Masoc), Datuk Seri Zolkples Embong berkata, Malaysia berpeluang cerah memenangi dua pingat emas yang ditawarkan menerusi acara compound individu lelaki dan wanita yang akan diadakan pada 16 Ogos ini.

Malah, beliau tidak menolak kemungkinan skuad sepak takraw negara juga berpotensi menyumbang pingat untuk negara pada kejohanan itu menerusi dua acara chinlone.

"Harapan kita cerah terhadap sukan memanah begitu juga chinlone. Insya-Allah kita boleh dapat pingat emas dalam empat acara yang menawarkan pingat pada hari ketiga penganjuran.

"Kita harap ia boleh membawa permulaan yang baik kepada kontinjen negara," katanya pada sidang media mesyuarat Masoc di Bukit Jalil pada Rabu.

Bagaimanapun Zolkples percaya kontinjen negara mampu menambah pungutan emas dalam tempoh tiga hari terakhir temasya dua tahun sekali itu seperti yang berlaku sebelum ini.

"Tarikh 28, 29 dan 30 Ogos antara hari yang mana atlet kita boleh sumbang pingat emas memandangkan jumlah pingat yang ditawarkan pada hari itu cukup banyak," katanya.

Pada tiga hari terakhir itu, sebanyak 97 pingat dipertaruhkan menerusi acara renang, badminton, berbasikal trek, pencak silat, muay thai, perahu layar, skuasy, taekwando, ski air dan wakeboard, angkat berat, luncur ais, futsal, bola sepak, polo dan kriket.

Diminta mengulas mengenai lokasi bagi acara memanah, Zolkples berkata, ia masih belum dimuktamadkan buat masa ini.

Namun katanya, acara tersebut akan berlangsung di lokasi alternatif iaitu Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil sekiranya Dataran Merdeka digunakan untuk sambutan Hari Kemerdekaan.

"Belum diputuskan tapi kita ada cadangan alternatif. Kalau tak dapat diadakan di Dataran Merdeka, MSN akan jadi lokasi bagi acara tersebut," katanya.

Sebelum itu, Zolkples mengumumkan sebanyak 17 jenis sukan terlibat dalam perubahan jadual susulan keputusan Masoc untuk mengawalkan tarikh majlis penutup Sukan SEA daripada 31 Ogos kepada 30 Ogos bagi menghormati sambutan Hari Raya Haji yang jatuh pada 1 September.

"Apabila kita buat perubahan jadual acara, ia tak libatkan semua sukan. Sebenarnya sukan terlibat hanya 17 sahaja, maknanya tak sampai 50 peratus daripada 38 acara yang dipertandingkan.

Antara sukan yang terlibat adalah renang (acara terjun, renang bebas), badminton,  tenpin boling, kriket, berbasikal (BMX, lebuh raya, trek), ekuestrian (polo), bola sepak (lelaki, wanita) futsal (lelaki, wanita), hoki padang (lelaki, wanita), luncur ais (figure skating, shotr track speed, muay thai, bola jaring, sepak takraw, skuasy, taekwando, triathlon, ski air dan wakeboard serta angkat berat.


Sukan SEA, Zolkples

Artikel Sebelum

Ridzuan Buru Tiga Emas

Artikel Berikut

Artikel Lain