suria

Jangan Politikkan Bola Sepak Selangor - Noh Omar

Mohamed Azmin Ali.

KUALA LUMPUR: Tan Sri Noh Omar menggesa Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali supaya membenarkan PKNS FC menyertai Liga Malaysia (Liga-M) Musim 2017.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor itu berkata, mengikut undang-undang Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), mana-mana pasukan yang mahu menyertai Liga M perlu mendapatkan kelulusan pihak pengurusan persatuan bola sepak negeri.

"Saya minta Menteri Besar (Azmin) menimbangkan semula agar PKNS FC dibenarkan mewakili FAS dalam Liga-M,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Karnival Kementerian Kesejahteraan, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) 2016 di Dataran Merdeka di sini, Sabtu.

PKNS FC kini menarik nafas lega apabila Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) memberikan tempoh sehingga Jumaat depan untuk mengesahkan penyertaan mereka pada Liga M musim depan.

Noh yang juga Menteri KPKT turut meminta Azmin agar tidak mempolitikkan bola sepak di Selangor. 

“Patutnya tempoh dah habis, tetapi saya dapat tahu tempoh dilanjutkan sehingga 9 Disember. Jadi, saya nak minta Menteri Besar supaya cukup-cukuplah berpolitik.

“Urus rumah PPR pun tak pandai, urus sampah pun tak reti, urus air pun tak cerdik, hari ini nak uruskan pasukan bola sepak Selangor pun tak pandai,” katanya.

Beliau menambah, kemelut antara FAS dan PKNS FC yang membabitkan penyertaan dua pasukan terbabit dalam liga musim hadapan hanya akan mengecewakan penyokong bola sepak Selangor pada masa akan datang.

PKNS FC sebelum ini mengambil 'jalan belakang' apabila menghantar permohonan penyertaan untuk menyertai Liga Super musim hadapan secara terus kepada FMLLP tanpa melalui FAS yang menjadi badan induk kepada pasukan terbabit.

Bagaimanapun FAS membantah keputusan FMLLP yang menerima keputusan PKNS FC berikutan badan pengendali liga itu membelakangkan persatuan bola sepak negeri apabila membuat keputusan menerima penyertaan pasukan terbabit tanpa sokongan dan persetujuan FAS.

FAS, PKNS FC

Artikel Berikut

Artikel Lain