suria

Tiada Sasaran Trofi - TMJ

PETALING JAYA: Juara Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) tidak meletakkan sebarang sasaran trofi pada musim depan, sebaliknya mahu memastikan kelab itu menjana keuntungan menerusi pelaburan masa depan.

Pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam kenyataannya yang disiarkan laman Facebook rasmi JOHOR Southern Tigers berkata, walaupun tidak meletakkan sebarang sasaran, tetapi beliau mahu skuad Harimau Selatan melakukan yang terbaik dalam setiap pertandingan.

Jelas beliau, tugasnya untuk memajukan pasukan bola sepak negeri Johor telah selesai selepas meletakkan individu yang sesuai di dalam kelab selain memiliki penyokong yang terbaik bagi memastikan projek pasukan itu berjaya.

"Saya mempunyai misi yang lebih besar iaitu negeri Johor.

"Saya mahu memberi tumpuan untuk negeri dan ekonomi Johor. Inilah misi saya mulai tahun depan dan seterusnya untuk memastikan negeri Johor maju dan baik dalam setiap aspek," kata beliau.

Ditanya sama ada beliau mahu berehat dalam dunia bola sepak, Tunku Ismail berkata, beliau akan terus berada dalam bola sepak kerana masih memiliki 70 peratus pemilikan kelab.

Namun jelasnya, beliau tidak akan menguruskan kelab tersebut seperti yang dilakukan tiga tahun lalu dan mahu melibat pasukan itu berjalan sendiri.

"Saya ingin melihat sama ada mereka mampu untuk mencapai apa yang mereka miliki selama 3 tahun ini jika saya tidak menguruskannya secara 100 peratus dengan penuh komited.

"Jadi jika itu dikatakan sebagai berehat, ya, saya berundur selangkah dan fokus kepada ekonomi negeri saya, meningkatkan pendidikan dan kesejahteraan umum rakyat Johor," katanya.

Dalam pada itu, Tunku Ismail turut menjelaskan punca beliau melibatkan diri dalam dunia bola sepak sejak beberapa tahun lalu.

"Pertama sekali ia adalah penyatuan Bangsa Johor. Kedua, untuk memberitahu dunia tentang identiti kita sebagai rakyat Johor, dan juga untuk menjadi salah satu kelab yang paling profesional di Asia Tenggara atau Asia.

"Saya melakukannya kerana saya mampu. Saya mampu kerana saya mahu. Saya mahu kerana mereka mengatakan saya tidak boleh melakukannya," katanya.

TMJ, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, JDT

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain