suria

"Bagaimana Faiz Jaring Gol, Siapa Puskas?"

Faiz Subri (kiri) bersama isterinya Nor Zawanis Hashim dan anaknya Muhammad Aqil Zayyan melihat laman sesawang Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) pada skrin komputer riba ketika ditemui di kediaman mereka dekat Batu Uban, malam Jumaat. fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Detik bersejarah bermula 16 Februari tahun ini dalam perlawanan Liga Super menentang Pahang apabila cubaan sepakan percuma Mohd Faiz Subri meninggalkan penjaga gol lawan terpaku.

Jaringan ajaib, dianggap melanggar hukum fizik itu dari jarak 32 meter melecong masuk dari sudut sukar di bahagian kanan gawang pasukan Pahang.

Gol minit ke-62 itu oleh penyerang tidak ternama berusia 29 tahun itu di Stadium Bandaraya Pulau Pinang itu telah melonjak nama Mohd Faiz di pentas dunia.

Jaringan ajaib itu kini diambang merangkul Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) 2015/2016 selepas tersenarai antara tiga calon utama anugerah tersebut.

Untuk rekod, jika beliau menang, Mohd Faiz akan menjadi rakyat Malaysia pertama merangkul anugerah rebutan pemain bola sepak dari seluruh dunia.

Selain boleh beraksi di bahagian tengah dan bahagian sayap, Mohd Faiz boleh bertindak sebagai penyerang dengan memiliki aset termasuk kepantasan, melakukan jaringan tepat dari jarak jauh dan melakukan hantaran kemas dan berbisa kepada rakan sepasukan.

Tinjauan Bernama setakat 9 malam Jumaat, menunjukkan klip video gol jaringan Mohd Faiz, yang dimuatnaik oleh FIFA dalam YouTube, telah disaksikan oleh lebih 1.3 juta penonton.

Dua lagi calon daripada 10 calon disenarai pendekkan daripada pusingan pertama ialah pemain kelab Cotinthians dari Brazil, Johnath Marlone dasn pemain wanita Daniuska Rodriguez dari Venezuela.

Marlone menjaringkan gol itu ketika Corinthians menentang Cobresal dalam Liga Copa Libertadores pada 21 April 2016 manakala Rodriguez pada 14 Mac 2016 semasa pertemuan Venezuela dengan Colombia pada Kejohanan Bola Sepak Wanita Amerika Selatan Bawah 17 Tahun.

Anugerah tahunan Puskas mengiktiraf seorang pemain, lelaki namun pun wanita, yang dianggap telah menjaringkan gol paling cantik pada tahun berkenaan.

Pada Oktober 2009, FIFA memperkenalkan anugerah tersebut sebagai penghormatan kepada lagenda Hungary, Ference Puskas, iaitu penyerang pasukan Real Madrid dalam lewat tahun 1950-an dan 60-an dan tonggak utama pasukan Hungary yang berjaya dalam era tersebut.

Puskas dianggap sebagai salah seorang pemain terunggul sepanjang zaman.

Beliau telah menjaringkan 84 gol dalam 85 perlawanan antarabangsa untuk Hungary dan 514 gol dalam 529 perlawanan dalam liga Hungary dan Sepanyol.

Beliau muncul juara Olimpik pada Sukan Olimpik Helsinki di Finland pada 1952 dan memimpin pasukan Hungary mara ke final Piala Dunia 1954 di Switzerland.

Walaupun kalah 2-3 kepada Jerman Barat (ketika itu) pada final, Puskas dinobatkan sebagai pemain terbaik Piala Dunia itu.

Puskas merangkul Piala Eropah sebanyak tiga kali pada 1959, 1960 dan 1966 dan 10 juara kebangsaan (lima juara liga Hungary dan lima juara liga Sepanyol) serta gelaran Kasut Emas sebanyak lapan kali.

Penyerang lagenda itu lahir pada 1 April 1927 di Budapest, Hungary dan meninggal dunia ketika berusia 79 tahun pada 17 November 2006.

Bintang Portugal, Cristiano Ronaldo mencipta sejarah sebagai pememang pertama anugerah itu pada 2009 sempena Anugerah Pemain Terbaik Dunia FIFA di Swtizerland.

Sejak itu, anugerah itu kemudian dimenangi pemain Turki, Hamit Altintop (2010), bintang Brazil, Neymar (2011), pemain Turki, Miroslav Stoch (2012), pemain Sweden, Zlatan Ibrahimovoc (2013) dan James Rodriguez dari Colombia pada 2014.

Tahun lepas, pemain tidak ternama dari kelab Goianesia di Brazil, Wendell Lira dinobatkan pemenang anugerah itu selepas mengatasi bintang terkemuka dunia seperti Lionel Messi dan Carlos Tevezs, kedua-dua dari Argentina.

Tiga jaringan terbaik yang mendapat undian tertinggi akan melalui pula proses undian kedua yang pemenangnya akan diumumkan pada Anugerah Bola Sepak FIFA di Zurich, Switzerland pada 9 Januari nanti. - BERNAMA

Puskas, Mohd Faiz Subri

Artikel Berikut

Artikel Lain