suria

Skuad Negeri Sembilan Perlu Elak Kesilapan Mudah

SEREMBAN: Juara bertahan, Negeri Sembilan diingatkan supaya mengekal aksi konsisten sambil mengelak kesilapan mudah dalam pertemuan suku akhir kedua bola sepak Piala Emas Raja-Raja, menentang Pahang, Jumaat ini.

Jurulatih Negeri Sembilan, Abdul Halim Sulaiman berkata pemainnya perlu mengambil kesempatan bermain di tempat sendiri di Stadium Mini Tampin untuk mengesahkan tiket ke separuh akhir.

"Saya telah mengarahkan pemain supaya menyerang habis-habisan dalam usaha mencari kemenangan. Kelebihan beraksi di gelanggang sendiri perlu dimanfaatkan," katanya di sini Isnin.

Dalam aksi suku akhir pertama di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Sabtu lepas, Negeri Sembilan yang ketinggalan 0-2 pada separuh masa pertama, bangkit menjaringkan tiga gol untuk menewaskan lawan 3-2.

Abdul Halim berkata, pemainnya beraksi cemerlang pada perlawanan suku akhir pertama itu dan beliau mahu mereka mempamerkan semangat yang sama di depan penyokong sendiri nanti.

"Sebagai juara bertahan, kita perlukan komitmen tinggi pemain dalam hasrat mempertahankan kejuaraan. Saya mengharapkan pemain sentiasa tenang dalam perlawanan itu," katanya.

Abdul Halim berkata Negeri Sembilan akan diperkuatkan dengan beberapa bekas pemain Liga Perdana seperti Mohd Firdaus Azizul, Azli Kidam dan Nor Faizal Farouk.

"Saya harap mereka dapat meneruskan rentak terbaik dan memperagakan aksi lebih bertenaga Jumaat ini," katanya. - BERNAMA


Artikel Lain