suria

Murray Kini No.1 Dunia Selepas Raonic Tarik Diri

ANDY Murray merampas ranking No.1 dunia daripada Novak Djokovic selepas Milos Raonic menarik diri pada aksi separuh akhir Paris Masters, malam Sabtu.

Keputusan Raonic itu membolehkan bintang Britain itu mara ke final tanpa perlu bermandi peluh.

Sebelum ini Murray perlu mara ke final dalam usaha memburu status terbaik dunia itu selepas Djokovic tersingkir pada pusingan suku akhir.

Murray sepatutnya bertemu Raonic buat kali kedua pada aksi separuh akhir tetapi pemain Kanda itu mengadakan sidang media untuk memaklumkan dia terpaksa menarik diri akibat kecederaan sebelum memulakan perlawanan penting tersebut.

"Saya mengimpikan untuk mendapat ranking No.1 bukan pada hari ini, bukan minggu lalu tetapi sejak beberapa tahun lalu.

"Lebih membanggakan ia adalah perkara yang paling sukar dalam karier saya," kata Murray.

Raonic berkata dia mengalami kecederaan di paha selepas menjalani pemeriksaan kesihatan pada pagi Sabtu.

"Semalam pada set pertama saya merasakan kesakitan di bahagian paha. Pagi ini saya sukar untuk berjalan," kata Raonic.

Ketiadaan Raonic memberikan kemenangan percuma kepada Murray dan menduduki ranking pertama dunia dengan mudah.

Murray menjadi atlet Britain pertama menduduki ranking tersebut sejak sistem berkomputer diperkenalkan.

Pemain berusia 29 tahun itu akan bertemu John Isner pada aksi final selepas bintang Amerika tersebut menundukkan Marin Cilic 6-4, 6-3 di separuh akhir.

Andy Murray

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Keputusan Bundesliga

Artikel Lain