suria

"Saya Tidak Akan Beli AC Milan" - Tunku Ismail

Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

PETALING JAYA: Pemilik kelab Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim pada Ahad menjelaskan bahawa beliau tidak akan membeli kelab bola sepak Itali, AC Milan.

Tunku Ismail yang merupakan Pemangku Raja Johor berkata, beliau baru-baru ini ditemuramah oleh The Straits Times, media dari Singapura mengenai pencapaiannya bersama JDT dan matlamat lain dalam hidup secara umum.

Beliau turut ditanya sekiranya mempunyai minat untuk membeli sebuah kelab luar negara. 

"Sememangnya saya memang ada keinginan tersebut. Jika saya perlu memilih sebuah kelab, ianya adalah AC Milan. Itulah salah satu impian saya. 

"Tetapi itu tidak bermakna saya akan membelinya. Ia cuma sebuah kelab yang saya minati dari zaman kanak-kanak. Itu sahaja. Jadi, untuk menjawab sebarang spekulasi, jawapannya adalah tidak. Saya tidak akan membeli AC Milan. 

"Saya tidak mempunyai duit untuk membeli AC Milan. Saya tidak kaya seperti ahli perniagaan Malaysia yang lain," katanya menerusi kenyataan di Facebook 'Johor Southern Tigers' pada Ahad.

Menurut Tunku Ismail, beliau hanya seorang pemuda dengan impian dan cita-cita yang besar.

"Kelab JDT saya pun tidak dapat mengalahkan Kedah dan pasukan Malaysia yang lain. Apatah lagi membeli AC Milan dan terpaksa bertembung dengan Juventus dan kelab-kelab gergasi Itali yang lain. 

"Takut saya. Kelab saya hanya JDT. Sebuah kelab kecil dengan cita-cita yang besar," ujar Tunku Ismail.

Artikel Sebelum

Artikel Lain