suria

Ada Sesuatu Tidak Kena Pada Skuad Penyu

Rozi Mamat.

KUALA TERENGGANU: "Lakukan perubahan sekarang sebelum menjadi lebih parah," tegas Exco Belia, Sukan dan Sumber Manusia Terengganu, Datuk Rozi Mamat kepada skuad Liga Super negeri itu.

Bosan dengan kekalahan kali empat kali berturut-turut pasukan negeri itu termasuk 0-3 kepada Kelantan pada Sabtu, Rozi mahu Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) segera mencari tonik untuk memantapkan skuad mereka.

"Ada sesuatu yang tidak kena pada pasukan Terengganu. Ia kemungkinan melibatkan masalahan dalaman.

"Bukan sekali kita tewas tapi empat kali berturut-turut dengan melibatkan bolos lebih daripada 10 gol...masih juga tiada perubahan, mutu permainan juga tidak berubah.

"Kita difahamkan jurulatih yang dipilih (Mike Mullvey) ini bagus, jadi di mana silapnya atau pemain kita yang tidak bagus...lakukan perubahan jangan sampai keadaan bertambah parah baru hendak bertindak," katanya kepada pemberita selepas Persidangan Majlis Perundingan Belia 2016 di sini, Ahad.

Sebelum ini, kerajaan negeri ada meminta PBSNT mengemukakan laporan penuh berikutan kemerosotan prestasi pasukan negeri itu dalam Liga Super dan Rozi mengakui telah menerima laporan berkenaan tetapi belum menelitinya secara terperinci.

Katanya hasil laporan prestasi pasukan berkenaan akan dibentangkan dalam mesyuarat Exco akan datang.

Dalam perlawanan di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kota Baru pada Sabtu, skuad Penyu tewas 0-3 menerusi jaringan Wan Zack Haikal Wan Nor pada minit ke-14, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria (m63) dan Fakhrul Zaman (m89).

Ia merupakan kekalahan kali keempat berturut-turut Terengganu yang sebelum ini tewas kepada Felda United FC, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Perak.

Terengganu kini menghuni tangga kelapan selepas sembilan perlawanan dengan hanya mengumpul sembilan mata. - BERNAMA

Rozi Mamat, skuad penyu, Liga Super

Artikel Lain