suria

KFA Muktamadkan Perjanjian Dengan D'Herbs Dalam Tempoh Terdekat

Ahmad Bashah Md Hanipah.

ALOR SETAR: Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) akan memuktamadkan perjanjian dengan Syarikat D'Herbs Holding (M) Sdn Bhd (D'Herbs) selepas syarikat itu bersetuju menaja skuad Helang Merah sebanyak RM30 juta. 

Presidennya, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, pihaknya akan membuat perjumpaan rasmi dengan D'Herbs dalam tempoh terdekat berhubung perkara itu.

"Apapun kita akan buat kenyataan rasmi berhubung perkara ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Mesra Muafakat Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Bersama Pemimpin di sini, Ahad.

Pada Sabtu, dalam sidang media di Stadium Darul Aman selepas perlawanan Liga Super antara Kedah dan Johor Darul Ta'zim, pengasas D'Herbs, Datuk Aliff Syukri Kamarzaman mengumumkan bersedia menaja pasukan Helang Merah sebanyak RM30 juta untuk tempoh tiga tahun. 

Dalam pada itu, Ahmad Bashah yang juga Menteri Besar Kedah menafikan pihaknya ada mengeluarkan surat permohonan kepada Ketua Polis Kedah, Datuk Zamri Yahya berhubung pengawasan pondok 'Deklarasi Rakyat' di perkarangan Stadium Darul Aman pada hari perlawanan bola sepak. 

Surat bertarikh 20 April itu yang turut viral di laman sosial, didakwa dikeluarkan KFA dan ditandatangani Setiausaha Kehormat KFA, Datuk Aminuddin Omar.

Surat itu juga didakwa mengandungi permohonan KFA kepada polis untuk mengambil tindakan terhadap penyokong yang tidak menghormati Ahmad Bashah semasa perlawanan bola sepak dengan memberi sorakan kurang sopan. - Bernama

Artikel Lain