suria

Skuad Berbasikal Terengganu Berlatih Di Chiang Mai

Salah seorang atlet berbasikal Terengganu (kanan) Ummi Hamimah Mohamad yang beraksi dalam acara pecut pada Sukma 2014.

KUALA TERENGGANU: Wilayah Chiang Mai di Thailand sekali lagi menjadi pilihan sebagai tempat latihan skuad lumba basikal Terengganu bagi persediaan mempertahankan kejuaraan di Sukan Malaysia (Sukma) ke-18 yang akan berlangsung di Sarawak Julai ini. 

Sebelum ini, pasukan Lumba Basikal Profesional Terengganu (TSG) turut memilih wilayah itu bagi menghadapi kejohanan berprestij Le Tour de Langkawi (LTdL) Februari lalu. 

Ketua jurulatih berbasikal Terengganu Syed Mohd Hussaini Syed Mazlan berkata seramai 10 pelumba lelaki dan enam pelumba wanita telah disenaraikan untuk membawa cabaran Terengganu pada kejohanan dwitahunan itu. 

"Chiang Mai merupakan lokasi yang paling menarik untuk kita buat latihan kerana keadaan muka buminya amat sesuai dengan pelumba-pelumba Terengganu,"katanya kepada Bernama pada Khamis.  

Menurut Syed Mohd Hussaini, pelumba-pelumba tersebut akan menjalani latihan di negara itu selama kira-kira sebulan bermula awal Jun dan terpaksa menyambut Aidilfitri di sana.

Katanya pada Sukma Perlis dua tahun lepas, Terengganu memperolehi enam pingat emas dalam acara ujian masa, lebuh raya dan kreterium. 

"Pada tahun ini, kita akan berusaha bersungguh-sungguh untuk memberikan persembahan terbaik dalam mempertahankan kejuaraan dengan memenangi acara-acara tersebut," katanya. 

Beliau berkata skuad lumba basikal Terengganu itu telah banyak didedahkan dalam kejohanan-kejohanan berprestasi tinggi baik di dalam negeri mahupun luar negara untuk menguji prestasi pelumba. 

Terbaharu, katanya skuad tersebut telah dihantar untuk menyertai kejohanan terbuka Wali Kota Tegal di Jawa Timur, Indonesia selama dua hari bermula 23 April sebagai satu pendedahan. 

Beliau berkata tujuan Terengganu menyertai kejohanan tersebut bukan untuk mencari kemenangan tetapi hanya sekadar untuk melihat prestasi yang telah dicapai pelumba-pelumba sebelum menyertai kejohanan sebenar. 

Katanya bermula 1 Mei, skuad lumba basikal Terengganu itu akan menghentikan penyertaan sebarang kejohanan bagi membolehkan pasukan itu menumpukan latihan secara spesifik untuk persediaan menghadapi Sukma yang akan bermula dari 18 hingga 30 Julai ini. -Bernama

Sukan Berbasikal, Terengganu

Artikel Lain