suria

China Masters: Peng Soon- Liu Ying Mara Ke Suku Akhir

Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying (kanan) mara ke suku akhir China Masters pada Khamis.

KUALA LUMPUR: Beregu campuran negara, Chan Peng Soon/Goh Liu Ying melangkah ke pentas suku akhir Kejohanan Badminton Grand Prix Emas China Masters yang berlangsung di Pusat Olimpik di Changzhou, China pada Khamis.

Beregu pilihan keenam itu, bagaimanapun, terpaksa bertarung hingga ke rubber set sebelum menundukkan pasangan dari China, Zhu Junhao/Zhou Chaomin 22-24,21-12 dan 21-13 dalam perlawanan pusingan kedua yang berlarutan selama 49 minit.

Peng Soon/Liu Ying akan berdepan dengan beregu dari China, He Jiting/Du Yueh yang membuat kejutan menewaskan pilihan ketiga Shin Baek Cheol/Chae Yoo Jung dari Korea Selatan.

Sementara itu, cabaran Malaysia dalam acara beregu wanita berakhir selepas Vivian Hoo/Woon Khe Wei, tersingkir dalam pusingan kedua.

Beregu pilihan ketujuh itu tumpas dengan straight set 17-21, 18-21 kepada pasangan dari China, Huang Dongping/Zhong Qianxin.

Pasangan beregu campuran Tan Kian Meng/Lai Pei Jing juga tersungkur apabila tumpas kepada beregu dari Singapura Terry Hee Yong Kai/Tan Wei Han pada aksi pusingan kedua.

Pasangan itu gagal melangkah ke slot suku akhir apabila tewas 14-21,21-19 dan 21-14.

Pemain perseorangan negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin dan Liew Darenjuga gagal ke suku akhir dalam acara perseorangan lelaki.

Iskandar Zulkarnain tewas 21-18, 15-21, 4-21 kepada pemain Korea Selatan, Lee Dong Keun.

Daren yang beraksi dengan baik pada pusingan pertama dan kedua tumpas kepada pemain dari India, H.S Prannoy dengan 10-21 dan 15-21. -Bernama

China Masters, Suku Akhir

Artikel Lain