suria

Liga Super: T-Team Belasah Kedah 4-1

Pemain Kedah, Liridon Krasniqi cuba menghalang pemain T-Team Dilshod Sharifudinov pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah pada Rabu. Foto: ZABIDI TUSIN/The Star

PASUKAN T-Team berjaya menewaskan Kedah 4-1 dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, Rabu malam. 

Pada perlawanan itu, kedua-dua pasukan yang merupakan pendatang baru Liga Super memulakan permainan dengan lebih berjaga-jaga selain turut mengatur serangan mencari gol awal.

T-Team yang berkelebihan beraksi di gelanggang sendiri berjaya memecah kebuntuan jaringan seawal minit ketujuh menerusi Mohd Asrol Ibrahim yang bijak memperdaya penjaga gol Kedah, Farhan Abu Bakar melalui bola lambung.

Tuan rumah kemudian turut memberi tekanan kepada pertahanan Kedah untuk mencari gol seterusnya, namun berjaya dipatahkan.

Tiga minit sebelum babak pertama berakhir, Kedah berjaya mendapatkan gol penyamaan menerusi Badddrol Bakhtiar yang menanduk masuk bola hantaran rakan sepasukan. 

Bersambung babak kedua, pasukan pelawat yang kelihatan letih memberi kelebihan kepada T-Team untuk terus berusaha mendapatkan gol kedua.

Hasilnya, pemain import T-Team, Konate Makan berjaya menghasilkan gol kedua menerusi rembantan kencangnya.

Pada minit ke-78 pasukan tuan rumah menambah penderitaan pasukan pelawat apabila Ahmad Takhiyuddin menjaringkan gol ketiga untuk mengukuhkan kedudukan T-Team.

Kedah yang cuba bangkit mendekatkan jarak jaringan kelihatan semakin lesu sehingga memaksa pengendalinya, Tan Chng Hoe melakukan beberapa pertukaran termasuk mengeluarkan Bang Seung Hwan.

Malangnya, penawar yang dicari gagal ditemui apabila T-Team memperolehi gol keempat  menerusi Muhamad Safawi.

Kedudukan 4-1 itu kekal sehingga pengadil, Mohd Zamzaidi Katimin menamatkan perlawanan.

Liga Super, Kedah, T-Team

Artikel Sebelum

Keputusan La Liga

Artikel Berikut

Artikel Lain