suria

APO2016: Lima Pasukan Sukan Perlukan Undi Untuk Bergelar Juara

Wakil PPBN iaitu Pegawai Medianya, Faliq Firdaus (kiri) dan rakan setugas serta Pasukan Memanah Wanita Kebangsaan mengungguli carta lima teratas Pasukan Sukan Pilihan Online dan bakal merentap dalam undian oleh pengikutnya.

PETALING JAYA: Lima pasukan merebut anugerah Pasukan Sukan Pilihan Online bagi Anugerah Pilihan Online (APO2016) anjuran mStar Online dan Suria FM.

Lima pasukan yang mendapat pencalonan tertinggi itu adalah Johor Darul Tazim (JDT), Kelantan, Kedah, Pasukan Memanah Wanita Kebangsaan dan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN).

Pasukan Memanah Wanita Kebangsaan merupakan pasukan wanita tunggal yang tersenarai dalam carta lima teratas APO2016 bersama empat lagi pasukan bola sepak.

Pasukan tersebut diwakili oleh Norizah Ishak, 47, Norhati Al-Madihah Hashim, 28, Saritha Cham Nong, 28, dan Fatin Nur Fatehah Mat Salleh, 25.

Tidak kurang hebatnya juga skuad PPBN yang dikendalikan oleh Lim Teong Kim (Pengarah PPBN) apabila mendapat pencalonan tinggi dan berjaya mengatasi populariti pasukan bola sepak seperti Selangor dan Terengganu.

Teong Kim yang merupakan bekas jurulatih skuad remaja Akademi Bayern Munich kembali ke Malaysia pada 2013 dan mengikat kontrak selama lima tahun dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sebagai Pengarah PPBN.

Bekas pemain bola sepak kebangsaan era lewat 80-an berusia 53 tahun itu mula popular selepas skuad Bawah-13 tahun PPBN muncul juara Kejohanan Bola Sepak Remaja Piala Iber Costa del Sol 2015.

Pada perlawanan itu anak buah Teong Kim membenam kelab Portugal, Sporting Lisbon 2-1 di Sepanyol pada Jun lalu.

PPBN turut bersaing dengan empat calon lain untuk merebut anugerah Pasukan Sukan Pilihan Online.

Pengumuman carta lima terbaik dibuat oleh Editor Eksekutif, Rozaid A. Rahman.

Proses pengundian fasa kedua bermula 1 April hingga 27 April depan dan sepanjang tempoh itu undian boleh dibuat setiap hari (sekali sehari) menerusi akaun Facebook, Instagram dan Google di laman web http://apo.mstar.com.my/utama.aspx

Debaran APO2016 mulai dirasai selepas peringkat pertama berakhir pada 31 Mac dan pengumuman senarai pencalonan lima terbaik itu diadakan di Menara Star di sini, Khamis.

Semasa tempoh pencalonan yang bermula 3 Mac sehingga 30 Mac 2016, pihak penganjur menerima kira-kira 120,000 pencalonan yang dibuat menerusi laman web khas APO2016 iaitu apo.mstar.com.my.

Malam kemuncak APO2016 bakal diadakan pada 30 April 2016 (Sabtu) dan akan dipancarkan secara langsung menerusi TV2 dari Auditorium Perdana, Angkasapuri Kuala Lumpur, pukul 9 malam.

Ia bakal dimeriahkan dengan gabungan tiga pengacara iaitu pasangan deejay Suria Pagi, Suria FM iaitu Adibah Noor dan Baki Zainal yang akan disokong oleh pengacara hebat Awal Ashaari.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain