suria

Hukuman Penggantungan Sazali Kekal - PBBM

Sazali Samad.

KUALA LUMPUR: Hukuman penggantungan selama empat tahun yang dikenakan ke atas jaguh bina badan negara, Sazali Samad oleh Persekutuan Bina Badan Malaysia (PBBM), kekal. 

Setiausaha PBBM, Kamaruzaman Kadir berkata, keputusan itu diputuskan oleh Jawatankuasa Rayuan PBBM selepas dua kali bermesyuarat bagi membincangkan rayuan Sazali untuk mengurangkan hukumannya.

Jawatankuasa Rayuan itu dipengerusikan oleh Datuk Wira Masood Zainal Abidin yang juga Naib Presiden PBBM. 

"Setelah dua kali bersidang dan meneliti segala bukti, mengambil kira segala fakta, penjelasan dan pendapat daripada beberapa pihak...kami membuat keputusan untuk mengekalkan hukumannya," katanya dalam satu kenyataan media, Khamis.

Laporan media pada Rabu melaporkan bahawa Sazali tidak menerima sebarang maklum balas daripada PBBM selepas dua minggu Majlis Sukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyerahkan surat sokongan melibatkan jaguh bina badan negara itu.

Peguam kepada Sazali, Mohd Norasmawi Norani meminta PBBM membuat keputusan secepat mungkin ekoran hukuman itu sedikit sebanyak mengganggu perancangan Sazali yang masih bersemangat membuat latihan serta memberi motivasi kepada pihak memerlukan. 

Sazali digantung empat tahun selepas gagal dalam ujian doping yang dijalankan oleh Agensi Antidoping Malaysia (Adamas) pada 1 September lepas.

Sazali pernah memenangi kejuaraan Mr Universe sebanyak 10 kali, iaitu di Melaka pada 2000; Moscow, Rusia (2004); Ostrava, Republik Czech (2006); Jeju, Korea Selatan (2007); Dubai (2009); Varanasi, India (2010); Melaka (2011); Bangkok, Thailand (2012), Budaors, Hungary (2013) dan Mumbai, India (2014). 

Anak jati Batu Pahat, Johor itu yang digelar 'Orang Besi Malaysia', pernah meraih sembilan kali gelaran Mr Asia pada 1996, 1998, 1999, 2000, 2004, 2009, 2010, 2012 dan 2014. - Bernama

Sazali Samad

Artikel Sebelum

Artikel Lain