suria

Saya Akan Buat Keputusan - Tengku Abdullah

Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah
KUANTAN: "Mereka (Exco FAM) boleh tolak tetapi saya yang akan membuat keputusan," tegas Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Menurut Tengku Abdullah, walaupun sedar Jawatankuasa Eksekutif FAM menolak keputusannya meletak jawatan, kata akhir tetap berada di tangannya.

Baginya, ketika ini beliau mahu menyelesaikan banyak perkara sebelum membuat keputusan muktamad.

"Saya kena selesaikan urusan saya terlebih dahulu berkaitan dengan bola sepak. Kemudian baru saya akan buat keputusan. Namun niat untuk berundur sentiasa ada," katanya.

Tengku Abdullah berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan Korporat oleh Tabung Haji (TH) dan TH Plantations Berhad di Istana Abdul Aziz di sini, Isnin.

Pada majlis itu, TH diwakili Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Tan Sri Ismee Ismail, manakala Pengarah Perladangan Radin Rosli Suhadi mewakili TH Plantations.

Pada 7 September lalu, Tengku Abdullah menyatakan hasrat melepaskan jawatan selepas kecewa dan sedih dengan kekalahan besar 0-10 skuad Harimau Malaysia kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada pusingan kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 di Abu Dhabi.

Surat peletakan jawatan baginda telahpun dihantar kepada barisan Exco FAM, namun pada 29 Februari lalu, jawatankuasa eksekutif badan induk itu sebulat suara menolak hasrat itu.

Tengku Abdullah mengambil alih pucuk pimpinan FAM daripada ayahandanya Sultan Ahmad Shah yang melepaskan jawatan selepas memimpin FAM selama 30 tahun dalam Kongres FAM ke-50 pada Mei 2014.

Artikel Berikut

Artikel Lain