suria

Celcom Axiata Taja BAM RM24 Juta

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor yang juga Penaung Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menyaksikan pemeteraian perjanjian Celcom Axiata dan BAM untuk penajaan Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia-Celcom Axiata di Bangunan Perdana Putra pada Isnin. Pemeteraian itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Axiata Datuk Seri Shazalli Ramly (kiri) dan Pemangku Presiden BAM Tan Sri Mohamed Al Amin Abdul Majid (kanan). Turut hadir Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin (dua, kiri).

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menerima suntikan semangat baharu menerusi tajaan daripada Celcom Axiata sebanyak RM24 juta  dalam tempoh tiga tahun bermula tahun ini.

Tajaan sebanyak RM8 juta setahun itu merangkumi program pembangunan, insentif atlet, penganjuran kejohanan serta penglibatan pemain di kejohanan luar.

"Kerjasama ini adalah selama tiga tahun sehingga 2018. Tajaan ini merangkumi semua objektif yang dipersetujui bersama BAM.

"Selain itu Celcom sendiri akan mengeluarkan sebanyak RM10 juta dalam tempoh tiga tahun untuk mempromosikan sukan badminton," jelas Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Axiata Berhad, Datuk Seri Shazalli Ramly pada sidang media, Isnin.

Sebelum ini, BAM ditaja Maybank sebanyak RM 7juta setahun sejak 2011 dan berakhir baru-baru ini.

Sementara  itu, Pemangku Presiden BAM Tan Sri Mohamed Al Amin Abd Majid berkata, penajaan itu merupakan suntikan positif menjelang Kejohanan Terbuka Malaysia yang bakal berlangsung di Stadium Malawati pada 5-10 April ini.

"Pemain-pemain yang berada dalam kelompok terbaik bakal beraksi April ini.

"Malah kejohanan Terbuka Malaysia ini juga menjadi tumpuan kerana ia menjadi medan aksi pemain-pemain dunia untuk mengutip mata ke Sukan Olimpik memandangkan tarikh kelayakan akhir pada hujung April nanti," ujarnya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain