suria

Vida Mahu Kelantan Main Seperti Atletico Madrid

PARIS: Penaja utama Kelantan, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman mahu serapkan modul permainan pasukan La Liga, Atletico Madrid dalam sesi latihan skuad Pamoga Qu Puteh The Red Warrios (PQPTRW).

Susulan itu, Hasmiza atau lebih dikenali sebagai Datuk Vida akan meluangkan masa selama dua hari bersama jurulatih, K. Devan dan pemain PQPTRW semasa cuti rehat Liga Malaysia bagi membincangkan cara untuk melaksanakan modul tersebut.

"Saya akan ke Kelantan selepas pulang ke tanah air dari London dalam masa terdekat bagi membincangkan mengenai modul corak permainan Atletico bersama dengan pasukan PQPTRW.

"Perbincangan itu akan dilakukan sebelum tempoh rehat Liga Malaysia berakhir pada15 April ini.  Kita perlu meneliti setiap aspek yang diguna-pakai pasukan La Liga itu jika mahu memantapkan PQPTRW," katanya kepada mStar Online pada Isnin.

Pada petang Isnin, Vida berlepas ke London, United Kingdom untuk meninjau Stadium Old Trafford, milik sebuah pasukan idolanya, Manchester United.

Beliau akan meninjau stadium tersebut pada Selasa bagi melihat sendiri reka bentuk dalaman stadium The Red Devils untuk diaplikasikan terhadap Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Baru, Kelantan.

Vida berkata beliau sudah menyediakan draf modul corak permainan Atletico Madrid yang diperolehinya semasa menyaksikan pertemuan antara pasukan La Liga itu dengan PSV Eindhoven pada aksi Liga Juara-Juara minggu lalu.

"Saya dapat beberapa input berguna selepas menyaksikan pertembungan penuh dramatik itu. Saya amat terpegun dengan corak permainan Atletico yang berjaya memukau mata saya.

"Draf corak permainan tersebut sudah ada, cuma saya perlu bentangkan kepada pemain dan jurulatih untuk kita gunakan di dalam pasukan. Terdapat keperluan untuk ubah corak permainan pasukan jika mahu mengungguli Liga Malaysia," katanya.

Mengulas lebih lanjut mengenai corak permainan Atletico, Vida berkata antara aspek yang perlu diberi perhatian oleh PQPTRW adalah kemahiran mengawal, mengelecek dan membawa bola, teknik larian yang betul serta cara memperdayakan lawan perlu dikuasai setiap pemain.

"Sepatutnya setiap pemain perlu ada kemahiran seperti ini, tapi saya tengok ia masih belum ada dalam pasukan Kelantan. Kita perlu cari jalan untuk sesuaikan modul ini di dalam pasukan," katanya.

Malah jutawan kosmetik itu berharap agar pengalamannya sepanjang lawatan ke Sepanyol khususnya dapat memberi manfaat kepada pasukan Kelantan untuk memperbaiki mutu permainan mereka dari semasa ke semasa.

"Buat masa ini saya masih belum berpuas hati dengan corak permainan Kelantan. Masih terlalu banyak kelemahan yang perlu diperbaiki.

"Saya akan kongsi dengan Devan dan pemain mengenai pengalaman yang saya dapat semasa berada di Sepanyol dan berpeluang menyaksikan dua perlawanan Liga Juara-Juara," katanya.

Menurut Vida beliau sanggup menghabiskan perbelanjaan hampir RM50,000 untuk tiket perlawanan, kemudahan pengangkutan dan penginapan bagi menyaksikan pertembungan antara Barcelona menentang Arsenal di Stadium Camp Nou dan Atletico Madrid bertemu PSV Eindhoven di Stadium Vincente Calderon minggu lalu.

"Demi menaikkan mutu permainan Kelantan saya sanggup menonton perlawanan Barcelona menentang Arsenal dalam keadaan hujan dan sejuk. Tiketnya pun agak mahal kira-kira RM1,000 untuk setiap perlawanan.

"Semuanya gara-gara kerana ingin melihat corak permainan empat pasukan hebat untuk digunakan di dalam pasukan Kelantan. Apabila saya ingin buat sesuatu saya akan berusaha keras untuk merealisasikannya," katanya.

Kelantan, Atletico Madrid

Artikel Lain