suria

Pengalaman Faktor Utama Welson Layak Ke Olimpik

KUALA LUMPUR: Perenang muda negara, Welson Sim Wee Sheng mengakui kegagalan sebelum ini dijadikan faktor untuk terus bangkit sehingga mencipta rekod terbaik hingga melayakkan dirinya untuk beraksi pada Sukan Olimpik di Rio Ogos ini.

Welson layak secara merit ke pentas Olimpik dalam acara 200 meter dan 400m gaya bebas sekaligus memecah rekod kebangsaan miliknya pada aksi kejohanan Singapore National Age Group yang berakhir pada Ahad.

Menurut perenang berusia 19 tahun kelahiran Sarawak itu, pengalaman lalu menjadikan dia seorang yang lebih bersemangat.

“Sebelum ini saya agak gementar, lebih-lebih lagi ketika beraksi di kejohanan dunia tahun lalu, tetapi itu semua dijadikan pengajaran.

“Saya tahu di mana kesilapan yang dilakukan ketika bertanding, seterusnya cuba ubah dan berfikiran lebih positif.

“Kini saya perlu bijak mengatasi tekanan yang bakal dihadapi menjelang Olimpik nanti,” jelasnya yang mula menyertai pertandingan kompetitif sejak berusia 11 tahun.

Welson menamatkan saingan di tempat pertama dengan catatan 1:47.67 saat, melepasi had kelayakan iaitu 1:47.97s.

Sementara itu, ketua jurulatih kebangsaan Paul Thomas Birmingham berkata,  setiap atlet akan merasai kekecewaan dahulu sebelum bangkit mencatatkan kejayaan.

“Dari segi psikologi dia perlu kuat, mungkin beberapa tahun lalu dia agak kecewa dengan prestasinya. Tetapi pengalaman itulah yang membuatkan dia lebih yakin. Tiada apa yang boleh buat kecuali teruskan usaha dan jangan mengalah.

“Mungkin sebelum ini dia gementar tetapi sekarang dia langsung tidak peduli sama ada perenang-perenang lain lebih besar daripadanya.

“Kami akan terus membimbingnya, begitu juga perenang-perenang lain,” jelasnya pada sidang media sebaik sahaja tiba dari Singapura pada Isnin.

Sebelum ini, Malaysia pernah layak ke Sukan Olimpik secara merit menerusi Alex Lim Keng Liat dalam acara 100m gaya kuak lentang di Athens pada 2004.

Selain itu, enam lagi perenang negara masih berpeluang untuk layak ke Olimpik, namun perlu mencatat keputusan terbaik dalam beberapa kejohanan sebelum pengumuman kelayakan yang akan dibuat pada Julai ini.

Welson Sim Wee Sheng

Artikel Sebelum

Artikel Lain