suria

Kedah Bawa Kelebihan Satu Gol Menentang Sabah

Penyerang Sabah, Maxsius Musa dikawal ketat dua pemain pertahanan Kedah pada saingan suku akhir Piala FA di Stadium Likas, Jumaat malam. Foto Bernama

KOTA KINABALU: Juara Liga Perdana musim lalu, Kedah membawa kelebihan satu gol selepas menang tipis 2-1 ke atas Sabah pada suku akhir pertama Piala FA di Stadium Likas, di sini Jumaat malam.

Kedua-dua pasukan akan bertemu semula pada suku akhir kedua di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada 1 April ini.

Pada aksi Jumaat malam, Sabah yang mengasak kubu skuad Helang Merah bagi memburu jaringan awal, hampir berada di hadapan pada minit kedua, namun percubaan Leopold Alfonso Otong berjaya ditepis penjaga gol, Mohd Farhan Abu Bakar.

Kedah yang bangkit melakukan serangan balas mendahului 1-0 apabila pertahanan dari Korea Selatan, Bang Seung Hwan memanfaatkan hantaran silang daripada Mohd Syazwan Zainon pada minit ke-39.

Tersentak dengan gol itu, tuan rumah kembali memperkemaskan jentera serangan bagi memburu gol penyamaan namun dinafikan ketangkasan Mohd Farhan dan keputusan 1-0 kekal sehingga berakhirnya babak pertama. 

Sebaik permainan bersambung, kedua-dua pasukan saling mengasak kubu lawan namun Kedah lebih bernasib baik apabila meraih gol kedua menerusi perancang tengah, Baddrol Bakhtiar yang menguis masuk hantaran Mohd Syazwan pada minit ke-69.

Sabah bagaimanapun merapatkan jurang apabila meraih gol tunggal pada waktu kecederaan menerusi pemain import dari Croatia, Igor Cerina yang menanduk masuk sepakan percuma Randy Baruh.

Keputusan 2-1 itu kekal sehingga tiupan wisel penamat oleh pengadil, Mohd Amirul Izwan Yaacob.

Tiga lagi perlawanan suku akhir pertama akan berlangsung pada Sabtu melibatkan pertemuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta'zim di Stadium Hang Jebat, Melaka.

Dua lagi perlawanan membabitkan pertemuan di antara pendahulu Liga Perdana, Kuala Lumpur dan Perak di Stadium Perak, Ipoh serta Sime Darby FC menentang PKNS FC di Stadium Majlis Perbandaran Selayang. - Bernama

Artikel Lain