suria

Pandelela Duduki Tempat Keempat Terjun Siri Dunia Fina

Pandelela Rinong.

KUALA LUMPUR: Ratu terjun negara Pandelela Rinong gagal menambah pungutan pingat di Kejohanan Terjun Siri Dunia FINA selepas sekadar menduduki tempat keempat pada pusingan kedua siri itu di Kompleks Sukan Hamdan di Dubai, Emiriah Arab Bersatu pada Jumaat.

Atlet berusia 23 tahun dari Sarawak itu yang meraih pingat gangsa bersama Leong Mun Yee dalam acara 10 meter platform seirama pada siri pembukaan di Beijing, minggu lepas, hanya mencatat 364.85 mata dalam acara 10m platform individu.

Penerjun China, Liu Huixia yang meraih pingat emas dalam acara 10m platform seirama bersama Si Yajie pada Khamis lepas, muncul pemenang acara itu setelah mengumpul 397.30 mata selepas lima terjunan.

Yajie yang menjuarai acara itu pada siri pertama, sekadar mengutip perak (395.15 mata), manakala penerjun Australia Melissa Wu mendapat gangsa dengan 382.60 mata. 

Seorang lagi penerjun negara, Wendy Ng Yan Yee akan beraksi dalam acara 3m papan anjal individu wanita pada hari terakhir siri kedua itu pada Sabtu.

Pusingan berikutnya siri itu akan diadakan di Windsor, Kanada dari 15-17 April sebelum berakhir di Kazan, Rusia pada 22-24 April. - Bernama

Pandelela Rinong

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain