suria

BAM Bakal Terima Tajaan Bernilai RM8 Juta Setahun

Mohamed Al Amin Abd Majid.

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bakal menerima tajaan bernilai RM8 juta setahun daripada dua penaja baharu yang akan diumumkan selewat-lewatnya hujung bulan ini.

Difahamkan, tajaan itu membabitkan sebuah syarikat telekomunikasi terkemuka Asia dan satu lagi syarikat di Malaysia, yang masing-masing akan menyalurkan RM4 juta setahun.

"Tajaan ini adalah RM1 juta lebih banyak daripada yang disalurkan penaja sebelum ini, Maybank yang memberikan RM7 juta setahun," kata sumber BAM kepada Bernama pada Jumaat.

Mengenai tempoh kontrak tajaan, sumber berkenaan berkata secara logiknya, ia pasti bukan untuk tempoh setahun memandangkan sebelum ini, penaja-penaja utama BAM menjalin ikatan yang lama bersama badan induk badminton negara itu.

Proton menjadi penaja utama paling lama bersama BAM iaitu sejak 1995 sehingga Maybank mengambil alih pada 2011.

Kontrak tajaan Maybank, yang sepatutnya berakhir pada 2017, ditamatkan baru-baru ini selepas bank itu memberikan notis tiga bulan kepada BAM pada akhir tahun lepas.

Pemangku Presiden BAM, Tan Sri Mohamed Al Amin Abd Majid, orang yang memainkan peranan penting mendapatkan tajaan baharu itu, bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.

"Kita akan umumkan secepat mungkin iaitu minggu depan, saya tidak boleh mengulas perkara itu sekarang kerana belum menandatangani perjanjian penajaan itu," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco BAM di sini, Jumaat. - Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Lain