suria

Vida Jumpa Pemain Import Baru Kelantan

Datuk Seri Dr Hasmiza Othman
BARCELONA: Penasihat Kehormat Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Datuk Seri Dr Hasmiza Othman menegaskan lawatan beliau ke Sepanyol untuk mengintai pemain import dari negara itu dan Argentina yang beraksi dalam La Liga bukan dilakukan semata-mata disebabkan desakan penyokong.

Sebaliknya, Hasmiza atau lebih dikenali sebagai Datuk Vida berkata lawatan itu adalah atas inisiatif beliau dalam usaha mengenal pasti pemain import berkualiti khususnya dari kelab divisyen tiga Liga Sepanyol dengan harga yang jauh lebih rendah.

"Memang saya bercuti bersama keluarga di Madrid dan Barcelona tapi saya gunakan kesempatan yang ada untuk intai mana-mana pemain import berkualiti. Tak sangka pula saya dipertemukan dengan seorang pemain import dari divisyen tiga Liga Sepanyol.

"Saya anggap ini satu rezeki kerana nak dapatkan pemain import bukan mudah. Jadi kita tak perlu keluarkan perbelanjaan besar untuk bawa pemain import ini ke Malaysia.

"Saya hanya mengintai sahaja, belum buat sebarang keputusan.  Perkara ini masih boleh dibincangkan nanti sebaik saya pulang ke tanah air," katanya kepada mStar Online sebelum berlepas ke Paris pada petang Khamis.

Jutawan kosmetik itu berkata inisiatif tersebut merupakan jalan terbaik untuk memberi lebih banyak pilihan kepada Kafa dalam mendapatkan pemain import yang boleh menjadi tunjang kepada pasukan Kelantan.

"Kita perlu sediakan payung sebelum hujan. Macam pilihan pemain import sedia ada diambil pada saat akhir. Kita boleh nampak melalui prestasi mereka, jadi ini yang cuba kita elakkan.

"Saya bukan nak ikut kata penyokong tapi sebagai pemain import profesional mereka tidak perlukan masa yang lama untuk menyesuaikan diri dengan pasukan sebab main bola sudah jadi asam garam dalam kehidupan mereka," katanya.

Pada masa sama, beliau tetap akan memberi peluang kepada pemain import sedia ada untuk memperbaiki prestasi permainan sebelum jendela perpindahan pemain dibuka semula Jun ini.

"Masih ada masa lagi untuk mereka buktikan sebelum pintu perpindahan pemain dibuka semula. Saya tak nak bayar gaji tinggi tapi main macam tak berapa nak molek, tak berbaloilah," katanya.

Beliau berkata selepas mengharungi lima perlawanan Liga Malaysia setakat ini empat pemain import sedia iaitu Dramane Traore dari Mali selain Blazhe Ilijoski (Yugoslavia), Jonathan Mckain (Australia) dan Jonatan Lucca (Brazil) masih gagal menyerlah.

Lebih mengecewakan apabila Kelantan tersingkir awal dalam saingan Piala FA apabila tewas kepada Kedah.

Pada Khamis, mStar Online melaporkan Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa sebagai berkata tidak wujud isu atau keperluan untuk menukar pemain pasukan itu ketika ini.

"Mengurus sesebuah pasukan bola sepak tidak boleh terburu-buru. Kita tidak boleh melayan penyokong-penyokong cakap begini kita lompat, penyokong cakap begitu kita lompat.

"Dalam pengurusan bola sepak bukan begitu caranya. Ada sesetengah pemain yang ‘pick up’ lambat, perlukan masa nak berganding antara satu sama lain," katanya.

Artikel Lain