suria

Vida Idam Bawa Jurulatih Khas Bantu Kelantan

PARIS: Penaja utama Kelantan, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman berhasrat membawa jurulatih khas yang pakar mengawal dan menggelecek bola untuk menyertai skuad Kijang.

Usahawan kosmetik itu menegaskan idea untuk mendapatkan jurulatih khas itu timbul selepas menyaksikan perlawanan suku akhir Liga Juara-Juara antara Atletico Madrid dan PSV Eindhoven malam Selasa lalu.

"Corak permainan Atletico yang menarik terutamanya dalam mengawal dan menggelecek bola sentiasa menghantui fikiran saya. Tiap kali nak pejam mata, terbayang-bayang cara mereka bermain.

"Wow, sangat hebat dan memukau. Inilah corak permainan yang saya mahukan dalam pasukan Kelantan. Hantaran dan kawalan bola yang sangat kemas ibarat 'main catur'," katanya kepada mStar Online semasa berada di Paris, Jumaat. 

Justeru, beliau akan mengintai khidmat jurulatih khas itu dari luar negara termasuk Malaysia untuk diserap menyertai pasukan dalam masa terdekat.

"Kita kena intai jurulatih itu terlebih dahulu, jika dapat dari luar negara dengan harga berbaloi, ia satu bonus.

"Namun, kita boleh cari dulu di Malaysia. Mana tahu apa yang kita nak ada di dalam negara. Kita kena usahakan juga sehingga dapat untuk mantapkan pasukan," katanya.

Justeru, Hasmiza atau lebih dikenali sebagai Datuk Vida berkata, beliau akan mengetengahkan cadangan itu kepada Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) selepas pulang dari lawatan ke London, hujung minggu ini.

"Saya akan laporkan input hasil lawatan ke Sepanyol dan United Kingdom kepada Kafa. Mungkin mereka boleh mengambil idea itu untuk disesuaikan dalam pasukan," katanya.

Ketika ditanya mengenai kedudukan ketua jurulatih Kelantan K. Devan susulan cadangan itu,Vida berkata bekas ketua jurulatih Selangor dan Negeri Sembilan tersebut akan kekal bersama pasukan Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PQPTRW).

"Kedudukan Devan tidak akan tergugat, beliau akan menjalankan tugas seperti biasa. Cuma dia akan dibantu jurulatih khas itu untuk memperbaiki dan memperkemaskan lagi corak permainan Kelantan," katanya.

Beliau yakin jika Kelantan mempunyai gandingan jurulatih dan pasukan yang mantap, tidak mustahil PQPTRW akan mengungguli aksi Liga Malaysia dan mampu bersaing dengan kelab antarabangsa.

"Kita mahu Kelantan mengungguli aksi Liga Malaysia, jadi pasukan yang digeruni lawan. Apa yang lebih penting jadi sebuah pasukan yang boleh berdiri sama tinggi dengan kelab antarabangsa," katanya.



Vida, Kijang, Kelantan, Liga Juara-Juara

Artikel Berikut

Artikel Lain