suria

Vida Cadang Tubuh Akademi Bola Sepak DSV

Vida yang masih bercuti di Paris turut meluangkan masa bagi memikirkan pelbagai cara untuk meningkatkan mutu bola sepak Kelantan.

PARIS: Bermatlamat untuk melahirkan ramai pemain pelapis seperti Lionel Messi, penaja utamanya Datuk Seri Dr Hasmiza berhasrat menubuhkan akademi bola sepak di negeri kelahirannya itu.

Susulan itu, jutawan wanita itu akan menyampaikan idea berkenaan kepada Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) dalam masa terdekat.

Usahawan kosmetik itu berkata, akademi tersebut yang bakal diberi nama Akademi Bola Sepak DSV (Datuk Seri Vida) akan memberi tumpuan kepada pemain berusia 13 hingga 18 tahun.

"Saya memang dah lama nak tubuhkan akademi seperti ini tapi baharu sekarang berpeluang untuk merealisasikannya. Ia hadir tepat pada waktunya iaitu ketika saya menjadi penaja Kelantan selama dua musim.

"Saya akan utarakan cadangan ini untuk pertimbangan Kafa. Saya lihat penubuhan akademi ini akan memberi manfaat besar kepada pasukan Kelantan bagi jangka  panjang," katanya kepada mStar Online pada petang Jumaat.

Untuk permulaan, Hasmiza atau lebih dikenali sebagai Datuk Vida berkata, akademi tersebut akan mengambil kemasukan seramai 30 pemain berbakat setiap tahun.

Malah katanya, pemain akan dipilih menerusi proses saringan yang ketat dengan mengambil kira kemahiran mengawal dan mengelecek bola serta tahap kecergasan.

"Proses saringan akan dilakukan dengan teliti supaya pemain yang terpilih betul-betul berbakat. Memanglah ia kelihatan sukar tapi percayalah menerusi akademi ini, Kelantan mampu mencungkil bakat baharu untuk pasukan Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PQPTRW)," katanya.

Justeru, beliau berharap Kafa dapat mempertimbangkan cadangan itu dalam usaha mencari pemain pelapis skuad Kijang untuk manfaat jangka panjang.

"Dengan penubuhan akademi ini, Kelantan tidak perlu bergantung kepada pemain negeri lain. Saya sendiri tahu bahawa Kelantan mempunyai ramai pemain muda yang bakatnya perlu digilap," katanya.

Vida menegaskan penubuhan akademi itu juga penting dalam membantu membangunkan bola sepak moden di Kelantan.

"Kita mahu lahirkan pemain yang lincah seperti (Lionel) Messi, Neymar, Ronaldo dan Felipe Luis dari Atletico Madrid. Saya percaya ia tidak mustahil akan berlaku kepada pasukan Kelantan," katanya.

Menurut Vida, beliau terpanggil untuk menubuhkan akademi tersebut selepas mengetahui bahawa pemain hebat Barcelona dilahirkan menerusi akademi bola sepak La Masia.

"Lihatlah Messi pada hari ini, antara pemain terhebat di dunia. Dia adalah produk yang berjaya dilahirkan akademi Barcelona. Itulah yang saya cuba lahirkan menerusi Akademi DSV," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain