suria

Terbuka Switzerland: Koo/Tan Mara Ke Separuh Akhir

KUALA LUMPUR: Bekas naib juara beregu lelaki Kejohanan Badminton Dunia 2010, Koo Kien Keat/Tan Boon Heong melangkah ke separuh akhir Kejohanan Badminton Grand Prix Emas Terbuka Switzerland yang berlangsung di St Jakobshalle Arena di Basel, Switzerland, lewat Jumaat (awal Sabtu waktu Malaysia).

Gandingan pilihan keenam itu, bagaimanapun, terpaksa bekerja keras sebelum berjaya menundukkan pasangan dari Englands, Marcus Ellis/Chris Langridge; dengan catatan 21-16, 19-21 dan 21-15 dalam saingan suku akhir yang berlarutan kira-kira 70 minit, menurut laman web Persekutuan Badminton Dunia (BWF) www.bwfbadminton.org.

Koo/Tan yang muncul juara dua kali dalam kejohanan berkenaan -- 2007 dan 2009 -- bakal berdepan tentangan hebat daripada pilihan keempat, Lee Sheng Mu/Tsai Chia Hsin dalam perlawanan separuh akhir pada Sabtu.

Pasangan dari Taiwan itu melangkah ke separuh akhir setelah menyingkirkan pilihan kelapan, Wang Yilyu/Zhang Wen dari China; 21-18 dan 21-16 dalam satu lagi saingan suku akhir.

Cabaran negara dalam tiga lagi acara -- perseorangan lelaki dan wanita serta beregu wanita -- berakhir beberapa hari lepas setelah pemain terbabit kalah kepada lawan masing-masing.

Malaysia tidak menghantar wakil bagi acara beregu campuran ke kejohanan itu yang menawarkan hadiah US$120,000 (RM499,716).

Artikel Sebelum

Artikel Lain