suria

Gangguan "Tangan Hitam" Perkara Biasa - Annuar Musa

KUALA LUMPUR: Gangguan dalam pengurusan pasukan bola sepak adalah perkara biasa, jelas Tan Sri Annuar Musa.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) itu berkata, mana-mana pasukan akan mengalami masalah gangguan ini dan ia tidak perlu diperbesarkan.

"Kadang-kadang sesuatu perkara itu tidak perlu dijadikan berita surat khabar kerana ia akan menjadi isu lain...seperti isu "tangan hitam" yang dilaporkan baru-baru ini.

"Saya sendiri tidak tahu siapa yang 'tangan hitam' itu. Jadi sesiapa yang tahu, beritahu pada saya.

"Selagi kita tidak tahu, ia akan menimbulkan situasi tuduh menuduh dan ia sesuatu yang tidak baik," jelasnya mengenai dakwaan wujud "tangan hitam yang mencampuri isu penguruan skuad Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PQPTRW) Ahad lalu.

Menurut Annuar, beliau tidak akan membenarkan sebarang gangguan dalam pengurusan pasukannya.

"Saya sendiri tidak pernah campur tangan, tak pernah tanya siapa barisan pemain.

"Kadang-kadang jurulatih yang menghantar mesej memberitahu nama pemain. Dan saya tidak komen apa-apa kerana di padang adalah tugas jurulatih.

"Presiden tugasnya lain, penaja lain malah pihak pengurusan pun lain. Tetapi sesetengah orang suka mencari publisiti.

"Apabila keluar berita dan gambar, ia sesuatu yang bagus bagi mereka, tetapi saya tidak boleh buat begitu," jelas Annuar.

Selain itu, Annuar menjelaskan prestasi pasukan bukan sahaja bergantung kepada jurulatih atau pemain-pemain tetapi keadaan pasukan lain.

"Walaupun rasa pasukan kita sudah bagus, tetapi ada lagi pasukan lain yang lebih baik kerana peraturan empat pemain import yang dibenarkan sekarang. Kalau sesebuah pasukan itu mempunyai empat pemain import terbaik, mereka boleh meningkat walaupun pemain tempatan gagal menyerlah.

"Jadi kita tidak boleh membuat jangkaan terhadap pasukan lain. Dan sebab itulah kita tidak boleh menukar jurulatih atau pemain import sesuka hati. Sebelum ini, pemain-pemain minta tukar jurulatih George Boateng...saya tukar tapi tak menjadi juga.

"Tahun lalu, pemain minta tukar pemain import baharu...saya ikut dan hakikatnya tetap tidak menjadi. Jadi sebenarnya memberi alasan itu (prestasi) membuatkan saya ragu-ragu," katanya.

Annuar memberitahu, bukan mudah untuk membuat pertukaran jurulatih kerana ia memerlukan perbincangan yang jelas.

"Jurulatih ada kontrak dengan persatuan. Kalau nak pecat jurulatih tanpa persetujuannya, kita kena bayar penuh mengikut kontrak. Jika ada rundingan dan persetujuan kedua-dua belah pihak, mungkin ia akan berjalan lancar.

"Tetapi apa yang penting, keputusan berdasarkan kontrak kerana FIFA dan FAM akan membuat penilaian berdasarkan kontrak yang kita tandatangan," jelas Annuar.

Kelantan, Kafa

Artikel Lain