suria

APO2016: Jangan Mudah Mengalah, Terus Cuba - Badrul Hisyam

PETALING JAYA: Sasaran Badrul Hisyam Abdul Manap untuk melakar rekod kebangsaan terbaharu dalam acara 100 meter lebih awal musim ini masih belum terlaksana.

Biarpun persediaan rapi dari segi mental fizikal telah dibuat sebelum menyertai Kejohanan Terbuka Pahang awal bulan ini, ia bukan jaminan untuk merekodkan masa terpantas seperti yang diidamkan Badrul.

"Mungkin belum ada rezeki lagi walaupun saya telah cuba yang terbaik. Pada saingan separuh akhir saya mencatat masa 10.34 saat dan ketika itu yakin boleh memperbaiki lagi masa ketika aksi akhir.

"Namun perkara yang tidak diduga berlaku apabila saya mengalami kekejangan otot dan menamatkan larian di tempat pertama dengan catatan 10.55s.

"Pun begitu, saya tidak kecewa dan berputus asa kerana bagi saya keputusan itu membolehkan saya untuk terus berusaha dan perbaiki apa yang masih kurang," jelasnya kepada mStar Online.

Menurut Badrul, setiap kejohanan yang disertai itu memberi pengalaman berguna kepadanya.

"Selepas ini masih ada lagi beberapa kejohanan penting buat saya sebelum menyertai Sukan Malaysia (Sukma) Julai ini. 

"Bulan depan bakal menyertai Terbuka Filipina dan berharap saingan di sana nanti dapat membantu meningkatkan prestasi yang lebih baik," kata Badrul yang turut disenaraikan untuk pencalonan Anugerah Pilihan Online (APO) 2016 dalam kategori Bintang Sukan Lelaki Pilihan Online.

Atlet kelahiran Melaka ini juga dijangka akan menyertai Terbuka Australia dan Kejohanan Remaja Asia di Vietnam pada Jun ini.

Penghujung tahun lalu, Badrul menjadi tumpuan arena sukan tanah air apabila berjaya melakar rekod 10.29s acara 100m pada Kejohanan Sekolah-sekolah ASEAN di
Brunei sekaligus memadamkan rekod 10.30s milik Watson Nyambek.

Namun rekod yang dicatat Badrul itu tidak sah kerana tuan rumah tidak mengikut spesifikasi yang ditetap oleh Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF).

Dalam pada itu, Badrul yang mengidam untuk berlari di Sukan Olimpik 2020 amat teruja apabila namanya turut tersenarai bagi pencalonan APO 2016.

"Saya yakin setiap atlet ada kelebihan dalam bidang masing-masing dan turut berbangga kerana disenaraikan bersama atlet-atlet elit negara yang lain. 

"Ia dianggap sebagai semangat tambahan untuk saya terus berlari dengan lebih pantas. Dan saya harap akan mendapat undian tinggi daripada penyokong-penyokong acara olahraga," tambah Badrul.

Peminat sukan negara boleh mencalonkan atlet pilihan masing-masing dengan melayari http://apo.mstar.com.my sehingga 31 Mac.

Pencalonan terbanyak akan membolehkan selebriti dan personaliti berkenaan ke peringkat seterusnya iaitu pengundian lima teratas mulai 1 April ini.

APO2016 yang dikendalikan portal berita mStar Online dan Suria FM  dengan tajaan produk kosmetik Dnars memperkenalkan 17 kategori membabitkan sembilan dalam bidang hiburan, tiga kategori sukan dan lima lagi kategori gaya hidup. 

Acara kemuncak ini akan disiarkan secara langsung menerusi TV2 pada 30 April depan, pukul 9 malam dari Auditorium Perdana, Angkasapuri Kuala Lumpur.

Badrul Hisyam, 100m, APO2016

Artikel Sebelum

Artikel Lain