suria

Kesilapan Taktikal Punca Kelantan Tewas - Penyokong

PETALING JAYA: Penyokong The Red Warriors (TRW) mengkritik taktikal yang digunakan pengendali Kelantan K. Devan ketika pasukan itu tewas 1-2 kepada Kedah pada aksi Liga Super di Stadium Darul Aman, Alor Setar, malam Selasa.

Presiden TRW Lembah Klang, Mohd Faizal Hasbi berkata Kelantan sudah menurunkan kesebelasan utama terbaik tapi taktikal yang diatur Devan tidak menjadi apabila skuad Helang Merah lebih menguasai rentak permainan.

"Skuad utama yang diturunkan semuanya tip top, kalau kereta ibarat model BMW dan Mercedes-Benz, tiada masalah untuk menundukkan lawan.

"Tapi sayang sekali, disebabkan kesilapan taktikal yang serba tidak kena antara punca Kelantan tewas kepada Kedah," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Rabu.

Mohd Faizal berkata, pasukan Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PQTRW) kurang bermain secara satu-dua tetapi banyak menggunakan hantaran jauh yang menyukar pemain untuk membaca pergerakan bola.

Malah, beliau turut mendedahkan beberapa pemain yang ditemui ahli kelab tersebut sejurus tamat perlawanan mengakui mereka tidak begitu menggemari taktikal yang digunakan.

Mohd Faizal Hasbi.

"Corak hantaran jauh menyukarkan mereka (pemain) mendapatkan bola sebaliknya memberi kelebihan kepada pemain Kedah merebut bola tersebut," katanya.

Justeru, beliau mengharapkan agar Devan menemui sentuhan magis dan memperbaiki kelemahan pasukan sebelum berkunjung semula ke Kedah pada pusingan ketiga Piala FA, Jumaat ini.

"Saya mewakili penyokong masih merasakan beliau (Devan) perlu diberikan lagi peluang untuk buktikan kredibilitinya pada Jumaat ini. Jadi beliau perlu lakukan sesuatu untuk mengubati keresahan penyokong," katanya.

Mohd Faizal berkata, skuad Kijang itu bagaimanapun perlu mencatatkan kemenangan jika mahu meneruskan kemaraan pada perlawanan tersebut.

"Nak tak nak, Kelantan kena menang sebab itu pusingan kalah mati. Jika pasukan gagal ia akan mencorakkan hala tuju pasukan sepanjang musim ini," katanya.

Jelas beliau lagi, pertembungan kedua di negeri Jelapang Padi itu bakal menentukan kedudukan Devan bersama Kelantan selepas ini.

"Jika beliau terus gagal, saya sarankan agar beliau direhatkan. Namun seelok-eloknya beliau kenal pasti kelemahan pasukan dan cuba perbaikinya sebelum berdepan ujian getir Kedah nanti," katanya.

Sementara itu, penaja utama PQPTRW, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman mengakui amat kecewa dengan prestasi pasukan terutamanya pemain import yang masih gagal mempamerkan aksi sebenar mereka.

"Saya sedih kerana apa yang diharapkan daripada pemain masih gagal direalisasikan. Jentera serangan kita masih lagi tumpul. Jadi apa sebenarnya yang membelenggu pasukan, Devan kena kenal pasti masalah itu sebelum terlambat," katanya.

Selepas tewas kepada Kedah, jentera serangan Kelantan turut akan diuji menjelang pertemuan semula kedua-dua pasukan dalam aksi pusingan ketiga Piala FA, Jumaat ini.

Devan perlu mencongak jentera serangan lebih ampuh dalam mengutip tiga mata penuh di gelanggang lawan sekali gus menghidupkan peluang mara ke pusingan keempat.



PQPTRW, TRWFC Lembah Klang

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain