suria

Perlis Perlu Kerja Lebih Kuat

Pemain Perlis, Mohamadou Sumareh (kiri) berjaya melepasi kawalan dua pemain Kuantan FA pada saingan Liga Perdana 2016 di Stadium Tuanku Syed Putra malam Isnin. -fotoBERNAMA

KANGAR: Pasukan bimbingan Dollah Salleh perlu bekerja lebih keras jika mahu melakar kejayaan pada perlawanan akan datang.

Skuad 'Singa Utara' itu banyak melakukan kesilapan terutama dalam usaha menembusi benteng pasukan Kuantan FA dalam perlawanan Liga Perdana di Stadium Tuanku Syed Putra di sini, malam Isnin.

Dollah berkata beliau sedar kelemahan Perlis selepas menang besar 6-1 ke atas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada perlawanan pembukaan tetapi tewas 0-1 kepada UiTM FC pada perlawanan kedua dan seri 1-1 dengan Sime Darby FC pada perlawanan ketiga.

"Jentera serangan Perlis pada separuh masa pertama agak lemah...ini yang merisaukan saya namun kemenangan tipis 1-0 ke atas Kuantan FA malam tadi, sedikit melegakan saya," kata Dollah.

Bekas pengendali pasukan kebangsaan itu berkata beliau akan berusaha memantapkan strategi serta persefahaman pemain selain kecergasan Perlis yang tidak konsisten.

"Saya mahu para pemain lebih fokus dalam perlawanan kalah mati pusingan ketiga Piala FA menentang Kuala Lumpur," kata Dollah.

Beliau berpuas hati dengan penyerang import, Vincent Kayne yang menjaringkan gol kemenangan malam tadi tetapi yakin pemain itu mampu meledak lebih banyak gol jika persefahaman dengan rakan-rakannya dapat ditingkatkan lagi.

Kayne yang menerima hantaran silang daripada Mohamadou Sumareh, dengan mudah menewaskan penjaga gol Kuantan FA Mohd Zairi Hafiezi untuk gol tunggal kemenangan Perlis pada minit ke-74 malam Isnin.

Dollah turut gembira dengan prestasi penjaga gol kedua, Saiful Amar Sudar yang semakin yakin dan berjaya menyelamatkan beberapa serangan berbahaya Kuantan FA malam Isnin. - BERNAMA
Perlis, Liga Perdana

Artikel Sebelum

Artikel Lain