suria

Benam ATM 5-1, Hadiah Kepada JDT II

Pemain JDT II, Paulo Rangel meraikan jaringan gol ketika menentang ATM pada saingan Liga Perdana di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, malam Isnin. -fotoBERNAMA

JOHOR BARU: Johor Darul Ta'zim II (JDT II) menyifatkan kejayaan membenam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 5-1 dalam perlawanan Liga Perdana malam Isnin, sebagai hadiah terbaik kepada pasukannya yang tidak kenal erti putus asa, biarpun mengalami tiga episod kekalahan sebelum ini.

Sejak pembukaan tirai kejohanan tiga minggu lepas, ia tewas tiga kali berturut-turut, 1-3 dengan DRB-Hicom, 0-1 dengan Kuala Lumpur dan 1-2 ditangan Melaka United, sebelum bangkit 5-1.

Ketua Jurulatihnya, Benjamin Maro berkata, pasukannya pernah berada pada situasi sukar sehingga 'kesakitan kesalahan' itu dirasai pemain setiap masa.

"Namun, saya sering berkata kepada mereka, jangan mudah mengaku kalah. Banyak perubahan yang perlu dilakukan, walaupun saya sendiri membenci perubahan."

Kami berlatih siang malam dan akhirnya, ia berhasil malam ini," katanya yang ditemui pemberita sejurus tamat perlawanan itu di Stadium Perbandaran Pasir Gudang, malam Isnin.

JDT II meraih kemenangan pertamanya malam tadi menerusi jaringan hatrik Paulo Rangel pasa minit ke-19, 33 dan 58, dan dua lagi gol sumbangan Mohd Irfan Fazali (minit ke-11) dan Mohd Hasbullah (minit ke-45).

Jaringan tunggal lawan pula disumbat oleh Venice Elphi Danny Kaya pada minit ke-17.

Maro berkata, kemenangan itu adalah langkah permulaan buat pasukannya bergerak ke hadapan bagi menghadapi baki saingan lain dalam musim ini.

"Pada 11 Mac ini, kita bertemu Sime Darby FC, saya memerlukan fokus sepenuhnya daripada pemain agar berupaya mencipta kelainan dan mengawal bola.

"Kita tidak memerlukan 'perancang', pemain sekarang sudah pun yang terbaik. Apa yang harus ada nanti ialah keyakinan agar mereka boleh beraksi lebih mantap dan terus merapatkan jurang dengan pasukan lain," katanya. - BERNAMA
JDT II, ATM, Liga Perdana

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain