suria

Grand Prix Akhir: Jin Wei Mudah Mara Ke Separuh Akhir

Jin Wei mara ke separuh akhir Kejohanan Sirkit Kebangsaan Grand Prix Akhir pada Jumaat.

KUALA LUMPUR: Pertembungan dinantikan antara juara remaja perempuan dunia, Goh Jin Wei dan pemain nombor satu negara, Tee Jing Yi di final Kejohanan Sirkit Kebangsaan Grand Prix (GP) Akhir semakin menjadi kenyataan.

Jin Wei, 15, serta Jing Yi, 24, masing-masing mengesahkan tiket ke separuh akhir pada Sabtu di Stadium Juara, Bukit Kiara di sini selepas melepasi halangan terakhir peringkat kumpulan dengan cara berbeza, Jumaat.

Bintang muda negara itu mudah menundukkan wakil Sekolah Sukan Bukit Jalil Thinaah Muralitharan 21-10, 21-11 untuk menjuarai Kumpulan B bagi menempah pertemuan dengan naib juara Kumpulan A, Lee Ying Ying, lawan sama yang ditundukkannya di final Kejohanan Remaja Dunia di Lima, Peru baru-baru ini.

Jing Yi pula terpaksa bangkit daripada kekalahan set pertama 20-22 kepada Ng Qi Xuan sebelum menang dua set berikutnya 21-17, 21-14, bagi menempah pertemuan dengan Lee Zii Yii.

Sementara itu, bagi acara perseorangan lelaki pula, pemain profesional negara Mohd Arif Abdul Latif yang kembali ke gelanggang kira-kira seminggu lalu selepas cedera di lutut kanannya September lepas, sasaran awalnya ke separuh akhir sudah dicapai.

"Saya mahu cuba yang terbaik sebab saya pun baru kembali berlatih enam hari sebelum kejohanan ini bermula. Sasaran awal sudah dicapai dan tiada tekanan untuk saya lagi," katanya kepada pemberita.

Pada aksi terakhir Kumpulan C, Mohd Arif yang mewakili Negeri Sembilan menewaskan lawannya Soo Teck Zhi dari Persatuan Badminton Malaysia (BAM) 21-19,11-21, 21-18.

"Pada set pertama, saya terasa sedikit sakit di lutut menyebabkan aksi agak terganggu tapi jurulatih tetap minta saya bertahan," katanya yang mencuri mata ekoran kesilapan yang dibuat oleh lawannya yang juga pilihan kedua kejohanan.

Pemenang pingat perak Sukan SEA di Singapura itu bakal berdepan Iskandar Zulkarnain Zainuddin yang juga pilihan pertama di separuh akhir Sabtu.

Iskandar yang mewakili BAM mengungguli Kumpulan A selepas menewaskan lawannya dari Selangor, Ai Wei Jian 21-16, 21-13 dalam perlawanan terakhir kumpulan.

Satu lagi separuh akhir adalah antara juara Kumpulan B yang juga pilihan kedua, Goh Soon Huat dan Chong Yee Han yang menjuarai Kumpulan B.

Soon Huat sebelum itu menewaskan Tan Chun Seang dari Kedah 21-6, 17-21,21-13 manakala Yee Han menewaskan Chin Wai Kin dari Sekolah Sukan Bukit Jalil 21-19, 17-21, 22-20. -Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain