suria

Mourinho Dipecat Tak Sampai 10 Minit Lepas Jumpa Pemilik Chelsea

Mourinho meninggal padang latihan Chelsea dengan menutup mukanya.

JOSE Mourinho dipecat tidak sampai 10 minit selepas bertemu dengan pemilik Chelsea Roman Abramovich serta dua anggota lembaga pengarah, tanpa disedari oleh para pemain kelab itu yang sedang menikmati hidangan khas menjelang Krismas.

Portal berita Mail Online melaporkan, sebelum itu Mourinho dan para pemainnya sedang menikmati hidangan khas tengah hari di pusat latihan kelab berkenaan di London.

Tidak lama selepas itu Abramovich tiba bersama dua lagi anggota lembaga pengarah Chelsea dan mereka dilaporkan bertemu Mourinho di padang latihan.

Pertemuan itu berlangsung tidak sampai 10 minit sebelum kedua-dua belah pihak memutuskan jalan terbaik untuk Chelsea ialah berpisah dengan Mourinho.

Pada ketika ini, malangnya Mourinho tidak  mengetahui yang Chelsea juga sudah pun memulakan rundingan dengan Guus Hiddink, 69, untuk kembali sebagai pengurus interim sehingga baki musim ini selesai.

Hiddink pernah sebelum ini menjadi pengurus sementara Chelsea iaitu selepas mereka memecat Filepe Scolari pada 2009.

Untuk tempoh interim itu, Hiddink memenangi Piala FA dan mengemudi kelab itu ke tangga ketiga liga.

Sementara itu Mail Online juga melaporkan, sebaik sahaja Mourinho dan Chelsea bersetuju untuk berpisah, dia dengan segera mengemas barang peribadi di pejabatnya dan meninggalkan padang latihan dengan menutup mukanya menggunakan jaket.

Para jurugambar yang menyedari kereta yang meluru keluar itu membawa Mourinho berjaya merakamkan fotonya.

Chelsea yang akan turun menentang Sunderland pada Sabtu di tempat sendiri akan dibimbing oleh penolong jurulatih Steve Holland. 

Adalah difahamkan juga yang Abramovich dan anggota lembaga pengarah hanya mengambil masa lima minit untuk membuat keputusan memecat Mourinho selepas dua pertemuan sebelum ini gagal mencapai kata muktamad.

Kemudian pada malam Khamis Pengarah Bolasepak Chelsea, Michael Emenalo mendedahkan yang suasana tegang yang sedang dilalui oleh kelab itu sekarang mendorong kepada pemecatan Mourinho.

Katanya hakikat bahawa Mourinho baharu sahaja menandatangani kontrak baru empat tahun bernilai £250,000 seminggu menunjukkan keputusan terbaharu ini bukanlah dirancang, sebaliknya diambil untuk melindungi kepentingan kelab.

Difahamkan juga yang Mourinho walaupun dipecat akan terus dibayar gaji sehingga jumlah itu mencecah 10 juta Pound Sterling dengan syarat dia masih lagi tidak mendapat pekerjaan baru.

Chelsea kini berada di tangga ke-16 liga dan cuma berada satu mata dari zon penyingkiran ke liga bawah — yang menjadi sebab kenapa Abramovich terpaksa memilih antara masa depan kelabnya dengan Mourinho walaupun bekas pengurusnya itu telah mencatat rekod sebagai yang paling berjaya dalam sejarah 110 tahun kelab tersebut.

Hanya lima bulan yang lalu Chelsea adalah juara Liga Perdana Inggeris iaitu yang ketiga di bawah bimbingan Mourinho.

Abramovich bagaimanapun membuat keputusan muktamad untuk berpisah dengan Mourinho selepas Chelsea kalah untuk kali kesembilan musim ini di tangan Leicester pada Isnin.

Lebih memalukan ialah Leicester kini dipimpin oleh Claudio Renieri iaitu orang yang dipecat oleh Chelsea sebaik sahaja kelab itu dibeli oleh Abramovic.

Leicester kini adalah pendahulu Liga Perdana Inggeris.

Chelsea kini akan menggunakan pengaruh dan kuasa kewangan mereka untuk memancing pengurus Bayern Munich, Pep Guardiola yang baru-baru ini telah menolak tawaran pelanjutan kontrak selama tiga tahun lagi

Kontrak Guardiola bersama Bayern tamat hujung musim ini.

Namun Guardiola dikatakan khuatir yang kecenderungan Chelsea untuk memecat pengurus mereka sebagai sebab utama mengapa dia enggan memberi kata putus buat masa ini.

Ini mendorong Chelsea untuk menyasarkan alternatif kepada pengurus Atletico Madrid, Diego Simeone, yang berhasrat berubah angin selepas empat musim mengemudi kelab Madrid itu.

Kontrak  Simeone dilindungi dengan klausa khas bayaran pampasan sebanyak £15 juta kepada Atletico jika ada mana-mana kelab yang mahukan perkhidmatannya.

Jose Mourinho, Chelsea

Artikel Berikut

Artikel Lain