suria

Juara Piala Malaysia: Lebih 5,000 Penyokong Raikan Red Giants

KUALA SELANGOR: Lebih 5,000 penyokong dan peminat bola sepak Selangor  membanjiri perkarangan Stadium Tertutup Kuala Selangor bagi meraikan pasukan Red Giants sempena Siri Jelajah Piala Malaysia 2015, yang bermula Jumaat.

Pengurus Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) Amiruddin Shaari berkata siri jelajah berkenaan diadakan sebagai tanda terima kasih kepada penyokong pasukan bola sepak Selangor yang setia di belakang pasukan itu sehingga berjaya merangkul kejuaraan Piala Malaysia, Sabtu lepas.

"Ini sebagai penghargaan dan tanda terima kasih kepada rakyat Selangor yang sentiasa memberi sokongan kepada pasukan sehingga berjaya menjulang Piala Malaysia.

"Siri Jelajah Piala Malaysia bermula di daerah Kuala Selangor hari ini, diikuti Klang, Sepang dan tempat terakhir di Selayang pada Ahad ini," katanya ketika berucap sempena Siri Jelajah Piala Malaysia 2015 di sini, Jumaat.  

Turut hadir, ketua jurulatih pasukan Selangor Mehmet Durakovic.

Mengulas lanjut, Amiruddin berkata pihaknya mahu penyokong di setiap daerah di Selangor berpeluang melihat sendiri piala berprestij itu yang sudah 10 tahun tidak dimiliki pasukan Red Giants.

Katanya FAS turut menyediakan cabutan bertuah dan poster pasukan yang ditandatangani semua pemain untuk peminat Red Giants yang hadir ke siri jelajah berkenaan.

Pada Sabtu lepas, Red Giants merangkul kejuaraan Piala Malaysia selepas menewaskan Kedah 2-0, menerusi dua jaringan penyerangnya, Ahmad Hazwan Bakri. -Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Lain