suria

Selangor Belum Putuskan Siapa Jurulatih Musim 2016

Peminat bola sepak berpeluang melihat Piala Malaysia dan mendapatkan tandatangan pemain sempena Jelajah Piala Malaysia Daerah Kuala Selangor di Stadium Tertutup Kuala Selangor pada Jumaat.

SHAH ALAM: Teka-teki siapa jurulatih skuad juara Piala Malaysia, The Red Giants musim depan berterusan ketika Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) membuat pusingan U mengekalkan pertahanan tengah, Robert Cornthwaite.

Jurulatih Pahang, Zainal Abidin Hassan disebut-sebut sudah diambil sebelum final Piala Malaysia 12 Dis lepas bagi menggantikan Mehmet Durakovic, namun pada Jumaat pengurus pasukan Selangor, Amiruddin Shari tampil menafikannya.

"Exco FAS masih mengadakan perbincangan mengenai perkara ini," katanya kepada pemberita mengenai Durakovic yang mencipta sejarah sebagai bekas pemain import pertama melatih Selangor menjuarai Piala Malaysia selepas menundukkan Kedah 2-0 di Stadium Shah Alam.

Nama Zainal dikaitkan lebih-lebih lagi selepas empat pemain utama Pahang - kapten Mohd Razman Roslan; peman tengah Mohd Hafiz Kamal dan R. Gopinathan serta penjaga gol Mohd Khairul Azhan Mohd Khalid - disahkan menyertai Selangor bagi menghadapi Liga Malaysia 2016.

Begitupun difahamkan kontrak Durakovic yang masih berbaki setahun lagi meletakkan FAS dalam dilema kerana perlu membayar pampasan jika meleraikan ikatan itu atau terpaksa memberi tugasan lain kepadanya - dua situasi yang pasti mengundang kemarahan penyokong setia Selangor.

Durakovic, bekas pemain Selangor yang menjuarai Piala Malaysia 1995-1997, terus mendapat tempat di hati penyokong Red Giants apabila menamatkan penantian sedekad menjuarai piala keramat, situasi sama dirasai tonggak pertahanan, Cornthwaite sehingga memaksa FAS mengekalkan pemain dari Australia itu.

Dua hari lepas, Cornthwaite dimaklumkan tidak akan dikekalkan oleh FAS sehingga menimbulkan kemarahan penyokong Selangor dan hari ini pemain itu menerusi Twitternya memaklumkan dia akan kekal bagi musim 2016.

Turut dikekalkan seorang lagi pemain import dari Indonesia, Andik Vermansah manakala Guilherme De Paula dan Leandro Dos Santos, kedua-duanya dari Brazil tidak diperbaharui kontrak mereka.

"Bagi saingan Liga Malaysia 2016, kita hanya mengekalkan 15 pemain sedia ada manakala pemain lain kita putuskan untuk tidak menyambung kontrak mereka," katanya.

Amirudin yang juga Exco Pembangunan Generasi Muda dan Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan Negeri Selangor berkata FAS akan mengumumkan dua pemain import baharu skuad itu minggu depan.

Senarai 19 pemain Selangor

Norazlan Razali, Muhammad Shahrom Abdul Kalam, Mohd Azrif Nasrulhaq BadrulHisham, Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid, Mohd Bunyamin Umar, Mohd Raimi Md Nor, Mohd Azmi Muslim, Muhammad Nazmi Faiz Mansor, Saiful Ridzuwan Selamat, S. Veenod, Mohd Fitri Shazwan Raduan, Ahmad Hazwan Bakri, Abdul Hadi Yahya, Andik Vermansah, Robert Cornthwaite, Mohd Razman Roslan, Mohd Hafiz Kamal, R.Gopinathan, Mohd Khairul Azhan Mohd Khalid. -Bernama

Pasukan Selangor

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain