suria

Litar Rakyat Bertaraf Antarabangsa Dicadang Dibina Di Selangor

SHAH ALAM: Penaung Kelab Bermotosikal Storm Rider Tan Sri Rozali Ismail mencadangkan agar sebuah litar rakyat bertaraf antarabangsa dibina di Selangor sebagai tempat peminat-peminat permotoran mengasah bakat mereka.

Katanya, jika cadangan itu mendapat persetujuan dan kerjasama daripada kerajaan pusat dan negeri beliau bersedia menyediakan tapak di Puncak Alam, Kuala Selangor bagi tujuan pembinaan litar berkenaan.

"Saya jangka dengan pembinaan litar rakyat ini, kegiatan berlumba secara merbahaya di jalan raya dapat dikurangkan.

"Litar berkenaan juga boleh dijadikan tempat untuk mengasah bakat pelapis pelumba negara untuk beraksi di kejohanan-kejohanan bertaraf antarabangsa," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis perasmian Fiesta Bikers Ahli Skuad Muda 1JPJ di sini, Ahad.

Fiesta berkenaan dirasmikan oleh Ketua Pengarah JPJ Datuk Seri Ismail Ahmad.Turut hadir Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Selangor Datuk Seri Noh Omar.

Fiesta anjuran Kelab Bermotosikal Storm Rider dan Jabatan Pengangkutan Jalan Selangor itu antaranya bertujuan mempupuk pemanduan berhemah di jalan raya kepada penunggang motosikal dan berjaya menarik kehadiran kira-kira 7,000 penunggang motosikal.

Sementara itu, Ismail berkata program sebegini adalah penting bagi memupuk kesedaran terhadap keselamatan kepada pengguna jalan raya terutama penunggang motosikal. 

"Pada 2014, sebanyak 480,000 kemalangan direkodkan melibatkan sebanyak 6,670 kematian dengan sebahagian besarnya melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal," katanya. -- Bernama 



litar rakyat, Rozali Ismail, Selangor

Artikel Lain