suria

Manchester United Buat Kejutan Tawar £36 Juta Untuk Anthony Martial

Penyerang sensasi Monaco, Anthony Martial kini jadi buruan Manchester United.

> Pemain itu adalah penyerang sensasi dari kelab Perancis Monaco

> Hanya beberapa jam yang lalu Van Gaal menyatakan mereka tak perlukan penyerang baru

> Manchester United tewas 1-2 di tangan Swansea City pada Ahad

> Wayne Rooney gagal menjaringkan gol walaupun ada tiga peluang terbuka

> Javier Hernandez dalam proses tinggalkan United untuk sertai Bayer Leverkusen

MANCHESTER UNITED membuat kejutan dengan menawarkan £36 juta kepada Monaco untuk penyerang sensasi mereka berusia 19 tahun, Anthony Martial.

Tawaran itu dibuat selepas penyerang United selama enam tahun, Javier Hernandez menyertai kelab Jerman, Bayer Leverkusen pada harga £12 juta sebentar tadi.

Monaco belum lagi memberi kata putus berhubung tawaran United itu tetapi Luis Campos, penasihat khas kepada kelab itu mengesahkan mengenai rundingan yang sedang berlangsung sekarang.

Pemain muda itu sering di bandingkan dengan legenda Perancis, Thierry Henry. Sebelum ini, sebuah lagi kelab Inggeris, Tottenham menawarkan £19 juta kepada Monaco untuk pemain itu tetapi ditolak.

United tewas buat pertama kali dalam perlawanan liga musim ini kepada Swansea City 1-2 pada Ahad iaitu yang ketiga berturut-turut di tangan kelab kerdil dari Wales itu sejak musim lalu.

Prestasi United mendapat kritikan daripada pelbagai pihak termasuk bekas pemain United sendiri seperti Gary Neville yang menegaskan Louis van Gaal perlu mencari penjaga gol baru, bek tengah yang kukuh dan juga penyerang yang kuat sebelum pintu perpindahan ditutup.

Malangnya United hanya mempunyai tempoh tidak sampai 24 jam sahaja lagi jika mereka berhasrat berbuat demikian sebelum ditutup menjelang Selasa.

Tetapi Van Gaal dalam reaksi segeranya tidak menyalahkan penjaga gol Romero di atas kekalahan itu sebaliknya meletakkan kesalahan itu ke atas pergerakan pantas Swansea dalam tempoh lima minit.

Sergio Romero dipilih sebagai penjaga gol United berbanding pemain regular mereka David de Gea kerana isu perpindahannya ke Real Madrid masih belum diselesaikan.

Walaupun Romero adalah penjaga gol utama Argentina tetapi dia jarang diturunkan di peringkat kelab ketika bersama kelab Itali sebelum ini.

Pergerakan dan tendangannya tidak sepantas de Gea walaupun gerak hatinya bagus.

Di bahagian hadapan United kekurangan ketajaman selepas mereka melepaskan Robin van Persie kepada Fenerbahce dan tidak menyambung kontrak pinjaman untuk Radamel Falcao yang kini menyertai Chelsea.

Anthony Martial yang baru sahaja disenaraikan dalam skuad kebangsaan Perancis untuk menentang Portugal dan Serbia pada 4 dan 7 September ini bermain sebanyak 48 kali untuk Monaco musim lalu dan menjaringkan 12 gol.

Dia memulakan kariernya bersama Lyon pada 2012 ketika berusia 17 tahun.

Artikel Sebelum

Mourinho Tahan Sabar

Artikel Lain