suria

Malaysia Hampiri Slot Separuh Akhir Kejohanan Bola Sepak AFF B-19

KUALA LUMPUR: Skuad Harimau Muda C (Bawah 19) menghampiri slot separuh akhir Kejohanan Bola Sepak Piala AFF B-19 selepas seri tanpa jaringan dengan Vietnam pada aksi ketiga Kumpulan B di Stadium Nasional Laos, Vientiane, Laos, pada Khamis malam.

Satu mata yang diperolehi skuad kendalian Hassan Sazali Mohd Waras itu sudah memadai untuk mereka kekal di kedudukan teratas Kumpulan B dengan tujuh mata selepas tiga perlawanan.

Malaysia sebelum ini mengalahkan Timor Leste 2-1 pada aksi pembukaan, Ahad lepas sebelum melakar kemenangan selesa 4-0 ke atas Singapura, Selasa lalu.

Pada aksi hari ini, Vietnam menguasai babak awal perlawanan untuk memburu jaringan pembukaan, namun dihampakan kekebalan benteng pertahanan Malaysia.

Penyerang muda negara, Muhammad Jafri Muhammad Firdaus Chew yang meledak tiga gol setakat ini, terpaksa dikeluarkan pada minit ke-17 selepas mengalami kecederaan lutut dan ia nyata memberi kesan kepada jentera serangan Malaysia untuk memburu gol awal.

Bersambung babak berikut, kedua-dua pasukan saling berbalas serangan namun gagal memecah kebuntuan jaringan sehingga perlawanan tamat.

Sementara itu, Hassan Sazali gembira dengan keputusan perlawanan dan memuji anak buahnya yang menampilkan aksi yang membanggakan.

"Pemain begitu komited dan bermain mengikut arahan. Kami kini mahu menang dalam perlawanan seterusnya Sabtu ini (menentang Myanmar). Seperti yang saya katakan sebelum ini, kami tidak boleh memandang mudah mana-mana pasukan," katanya.

Jurulatih Vietnam, Hoang Anh Tuan pula berkata, keputusan itu adalah adil untuk kedua-dua pasukan dan mengangap Malaysia sebagai antara pasukan terkuat dalam kejohanan kali ini.

Artikel Sebelum

Artikel Lain