suria

Zamri Baba Tunjuk Perkembangan Positif

KUALA LUMPUR: Pelumba SuperSports 600cc Malaysia, Zamri Baba yang cedera akibat kemalangan, kini menunjukkan perkembangan positif dan tahap kesedarannya bertambah baik.

Pelumba berusia 32 tahun itu cedera di bahagian kepala dan tangannya dalam kemalangan berkelajuan tinggi semasa perlumbaan Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) di Indonesia pada 7 Jun lepas dan dibawa pulang ke Malaysia pada 16 Julai lepas.

Menurut kenyataan media pasukan MUSASHi Boon Siew Honda Racing hari ini, Zamri kini bertindak balas kepada anggota keluarga dan menunjukkan kemajuan serta tanda-tanda awal proses pemulihan.

Pelbagai kumpulan perubatan Hospital Kuala Lumpur (HKL) turut memberi tumpuan kepada fisioterapi intensif, pemakanan dan program pemulihan peringkat awal bagi mempercepatkan proses pemulihannya.

Pengurus pasukan MUSASHi Boon Siew Honda Racing, Zulhelmi Ahmad, pula berkata pihaknya gembira dengan laporan positif yang dikeluarkan oleh HKL.

"Sejak dua bulan lepas, pasukan melakukan yang terbaik bagi memastikan Zamri menerima rawatan dan penjagaan terbaik. Sepanjang tempoh itu, kami bersyukur kerana menerima sokongan berterusan daripada pelbagai pihak," katanya.

Zamri disahkan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala serta keretakan tulang telapak tangan kanan keempat (metarcarpal bone) dan ujian imbasan CT di bahagian kepala menunjukkan kecederaan saraf axonal dan bengkak otak.-- Bernama

Zamri Baba, Indonesia

Artikel Lain