suria

Kafa Belum Terima Surat Peletakan Jawatan Azraai Khor

KOTA BAHARU: Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) masih belum menerima surat rasmi daripada Mohd Azraai Khor Abdullah berhubung peletakan jawatannya sebagai jurulatih Kelantan.

"Mungkin lepas ini surat rasmi akan diterima jadi sekarang saya tidak boleh komen apa-apa," kata Setiausaha Agung KAFA Datuk Ismail Md Noor ketika dihubungi Bernama pada Isnin.

Beliau mengulas laporan media pada Isnin yang mengatakan Mohd Azraai, 62, telah meletakkan jawatan sebagai jurulatih Kelantan pada Ahad.

Mohd Azraai Khor dilaporkan mendakwa terdapat 'tangan ghaib' yang mengganggu tugasnya sebagai jurulatih menyebabkannya bertindak meletakkan jawatan sebagai jurulatih The Red Warriors (TRW).

Ditanya siapa yang akan menjadi jurulatih baharu Kelantan jika Mohd Azraai Khor secara sah meletak jawatan, Ismail berkata ia akan ditentukan pihak pengurusan dalam masa terdekat.

"Jika betul dia letak jawatan kita akan hormati keputusannya, mungkin dia rasa bertanggungjawab di atas persembahan Kelantan yang kurang memuaskan," kata Ismail.

Mohd Azraai Khor dilantik sebagai jurulatih Kelantan menggantikan George Boateng pada 24 Mac lepas.

Untuk rekod, di bawah kendalian Mohd Azraai Khor, Kelantan hanya mencatat tiga kemenangan, dua seri dan tujuh kekalahan daripada 12 perlawanan dalam Liga Super dan Piala FA tahun ini.

Beliau turut membawa Kelantan ke pentas final Piala FA tahun ini sebelum tewas 3-1 di tangan Lions XII dari Singapura.

Kafa, Kelantan

Artikel Lain